Monday, December 28, 2009

Mengapa Orang Kita Selalu "GABRAH" ?

Atas pelbagai urusan dan kesibukan peribadi, ruang ini telah saya tinggalkan aga begitu lama. Saya tidak tahu, sejak bila saya meng"post" apa-apa komentar di ruang ini. Malahan teman-teman bloggers saya bertanya, mengapa saya tidak lagi menulis di ruangan blog ini.Saya hanya mampu menjawab "banyak urusan". Namun peristiwa semalam membuat saya terpanggil dan bangkit untuk memberikan ulasan tentang 'SIKAP ORANG KITA'.

Peristiwanya begini; Kira-kira jam 15.58 petang semalam, saya mendapat salinan SMS. daripada seorang hamba Allah! yang bergelar 'haji' yang seolah-olah begitu marah kepada YB.Wakil Rakyat/YB. Ahli Parlimen di kawasan pilihanraya mereka, dengan mengatakan wakil-wakil rakyat kawasan tersebut berbohong. Dikatakan bahawa projek yang dijanjikan atau yang mereka pohon tidak pernah lulus,walaupun permohonan tersebut telahpun dikemukakan kepada YB-YB. berkenaan sejak 2008 lagi. Dengan perasaan marah dan terkilan, beliau lalu mengelar wakil-wakil rakyat [YB-YB]berkenaan sebagai 'Pembohong'.

Saya agak terperanjat bila mana melihat dan membaca salinan SMS tersebut. Lalu hati kecil saya berkata; apakah yang terjadi sehingga insan yang bergelar 'haji' ini, boleh mengeluarkan kata-kata seumpama ini?. Oleh kerana perasaan heran dan tidak mahu memeningkan kepala untuk memikirkannya, maka saya ambil keputusan untuk terus 'delete' sms. tersebut dari 'inbox' talipon bibit saya. Tetapi tidak lama kemudiaan, saya mendapat satu lagi salinan sms. berkaitan subjek yang sama. Dia kata; " Itu salinan saja. Sudah puas tunbggu dan sudah dibagi CM...."

Namun hati kecil saya sehingga kini masih bertanya, Pertama; mengapa SMS. tersebut disalinankan kepada saya. Kedua: Apakah kena mengena atau kaitan masalah tersebut dengan saya. Ketiga: Kalau betulpun permohonan projek ini belum luluskan / tiada peruntukan, mengapa perlu saya diberitahu? mengapa penghantar sms tersebut tidak membuat susulan terus kepada pihak berkenaan, atau kepada Unit UPKR. ataupun terus kepada wakil-wakil rakyat berkenaan?

Sehingga kini saya belum sempat bertanya kepada orang menghantar SMS.tersebut,untuk bertanya hal sebenar atau bertanya mengapa sms tersebut disalinkan kepada saya?.

Friday, June 12, 2009

BERTEATER UNTUK PERPADUAN?

Entah macam mana, tiba-tiba tangan kiri saya dipaut oleh tangan sesorang. Saya terkejut dan terus memandang orang yang memaut tangan saya. Rupa-rupanya beliau adalah Sdr. Tedy rakan lama saya yang saya kenal 4 tahun yang lalu.
Tanpa berfikir panjang, saya mengajak beliau untuk minum teh tarikh sambil bersembang di kedai kopi. Al maklumlah sudah hampir 3 tahun saya tidak ketemu beliau.

Saya mengenali Sdr, Tedy ketika majlis bicara dan pelancaran buku teater saya pada tahun 2006 lalu. Beliau datang ke pameran jualan buku di DBP bersama Sdr. Bany Chua. Tapi anehnya dalam banyak judul dan buku yang dipamer dan dijual di kedai DAWAMA tersebut, beliau memilih untuk membeli buku Teater Moden Sabah yang saya tulis, yang pada anggapan saya beliau sendiri tidak tahu dan tidak faham apa yang saya tulis.
Lalu saya tanya, kenapa beliau memilih untuk membeli buku teater? Kenapa tidak buku lain. Lantas beliau menjawab;“ Sebenarnya saya minat teater. Tapi tiada orang yang ajar. Mahu juga saya belakon”. Ujur beliau.

Saya tersenyum dan berfikir, alangkah eloknya jika kaum-kaum lain juga yang minat teater Melayu ini, diberikan peluang untuk belajar dan ikut berlakon teater. Barangkali ini lebih baik dan lebih mudah menjadikan teater itu sebagai medium mencapai perpaduan ‘ 1Malaysia’ seperti mana yang diimpikan oleh YAB. Perdana Menteri.

Dalam perjalanan kami mencari kedai kopi, beliau sekali lagi bertanya saya –bilakah buku baru saya akan terbit? Lalu saya menjawab; “ Mungkin tidak lama lagi. Kini dalam penerbitan DBP. KL. Harap-harap boleh terbit tahun ini. Tapi bukan buku skrip teater, cuma sejarah teater".
Harap-harap ada pengarah teater menjemput sdr. Tedy jadi pelakon. Saya sebenarnya ingin melihat lebih ramai orang orang politik juga suku kaum lain berlakon dalam teater Melayu selain daripada orang Melayu itu sendiri- untuk perpaduan.

Wednesday, May 20, 2009

Bicara Eksekutif Seni Budaya Menurut Perspektif Islam - Apakah Mencapai Matlamatnya?

Alhamdullilah! Ketika saya dihubungi oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah [JKKN] samada dapat menghadirkan diri untuk satu majlis ' Bicara Seni Dan Budaya' menurut perspektif Islam yang akan di adakan di Dewan Seminar Melaka, Puterajaya beberapa hari lalu- tanpa banyak soal, saya lantas mengesahkan kehadiran saya. Sesungguhnya ruang bicara dan diskusi bentuk inilah yang saya tunggu-tunggu selama ini.
Di pagi hening sekitar jam 7.40 pagi, saya sudahpun berada di Puterajaya, Kompleks Persekutuan Sabah, Jalan UMS. dan bersarapan di situ. Mengapa saya datang begitu awal? Ternyata hanya punya satu sebab - iaitu ingin berjumpa dengan teman-teman karyawan, seniman dan budayawan lebih awal, mudahan-mudahan akan ada satu diskusi awal bagi mendapatkan pandangan mereka tentang tajuk ini, yang pada saya cukup 'Besar dan Gah'. 'Seni dan Budaya' adalah sesuatu yang amat luas pengertiannya kerana ia mencakupi kehidupan seluruh manusia di dunia ini. Apakah lagi apabila ia dikaitkan dengan senibuadaya Islam.
Secara umum 'budaya' adalah dikaitan dengan cara. Dulu, budaya sering ditakrifkan sebagai 'Budi dan Daya'. Sementara 'Kebudayaan' bermakna cara kehidupan atau gaya dan bentuk kehidupan manusia. Lantas itu sesetenggah ahli fikir atau budayawan Islam sering mengisilahkan 'budaya' itu sebagai ' Ad-Din' [ jalan atau cara hidup ] dan ada juga yang menyebutnya sebagai sebagai 'Ad-dinnul Islam?".
Jika begitu pengertianya, tentu sekali ia berkisar bukan sahaja kepada hal-hal seni muzik, nasyid [nyanyian] tetapi ia juga mencakupi soal politik, sosial, ekonomi, pakaian, pakaian, tatacara, bahasa, sastera dan juga sains [ilmu]. Dalam pengertian mudah ia harus mencakupi dan mendasari bentuk tamaddun manusia Islam dunia.
Soalnya, telah dapatkah ' Bicara Eksekutif Seni Dan Budaya Islam' yang diadakan sebentar tadi mencapai ' misi dan visi' serta matlamatnya seperti mana yang diharapkan oleh penganjur iaitu [JKKN] Sabah?
Pada saya, audien dalam lingkungan 50 orang itu adalah cukup memadai. Namun persoalan-persoalan atau contoh yang diketengahkan itu masih memerlukan satu kupasan lebih lanjut. Ini kerana hal-hal penggunaan 'istilah' dalam seni budaya ini pun masih kabur dan memerlukan penjelasan yang mendalam, tepat dan wajar.
Umpamanya: Persoalan istilah 'Tuhan' dalam karya atau teater oeh sesorang itu telah dianggap sebagai sesuatu yang salah dan boleh memesongkan akidah bagi sesetengah orang apabila si pelakon atau si pengkarya [penulis skrip] itu meletakkan sifat kepada watak Tuhan itu sebagai yang boleh berkata-kata? Ini pada saya memerlukan penjelasan lanjut. Saya khuatir orang keliru. Mengapa tidak? Pada saya istillah ' Tuhan' itu terlalu umum. Mungkin juga merujuk kepada Allah s.w.t [pencipta]. Atau mungkin juga merujuk kepada yang lain.
Selain daripada itu, skop perbincangan juga perlu diperluaskan. Kita tidak boleh hanya menyentuh hal-hal berkaitan lagu, muzik dan puisi sahaja sehingga orang keliru dengan menanggapi bahawa seni budaya itu terlalu sempit dan jumud. Walhal ia cukup besar dan luas, seperti yang saya nyatakan di atas.
Namun apapun, kita wajar juga berikan pujian kepada ahli-ahli panel dan khususnya kepada JKKN yang telah dapat menghidangkan kepada kita sesuatu yang baru dalam kita menanggapi dan memahami fungsi seni dan budaya menurut perspektif Islam. Mudah-mudahan program seumpama ini dapat diperluaskan dan mantapkan dengan kehadiran tokoh-tokoh budayawan Islam negara atau luar negara, agar kita [pengiat seni budaya] akan mendapat garis panduan yang mantap dan jelas dalam usaha kita menjalankan kegiatan seni dan berkarya, dengan satu niat kerana Allah! Wallahuallam.

Saturday, May 9, 2009

Teater di Sabah Lesu. Kenapa?

Ad-duhai... Kami letih, lenguh dan lesu. Itulah gambaran perasaan sebahagian besar pengiat teater di Sabah ketika berbicara dengan saya. Saya tertanya-tanya, kenapa ini terjadi? Saya masih mencarai jawapannya. Apakah ia berpunca kepada masalah sikap, displin, kesedaran, logistik, kewangan, tempat, skrip yang mantap tiada, ilmu teater yang kurang atau sekadar berteater suka-suka atau apa? Saya masih menyelidiknya. Namun jika anda punya jawapannya, sila emilkan kepada saya di alamat:http://www.laliman.ahmad@gmail.com

Sunday, April 19, 2009

Kampung - Memula Citra

Ternyata masa cukup pantas berlalu meninggalkan kita. Tanpa sedar rupanya sudah 3 minggu saya tidak menghantar apa-apa post ke laman blog saya. Saya bukanlah malas nak menulis atau bukan kerana tiada isu yang nak ditulis. Sebenarnya saya dan keluarga balik bercuti dan beristirahat di kampung.
Ternyata duduk di kampung begitu menyoronok. Suasana kampug memberikan saya cukup ketenangan. Kampug cukup mengamit perasaan. Keindahan panorama dengan sawah padinya yang luas terbentang, ia memberikan saya satu nastolgia yang cukup menyentuh jiwa saya. Di kampung inilah saya memulakan citra bagaimana seharusnya saya menjadi seorang manusia.

Tuesday, April 14, 2009

Pantun Diri

Jauh di seberang merentas lautan

Mencari cinta orang beriman

Jauhnya tuan mencari teman

Di sebelah rumah teman tak kelihatan.


Jauh tuan menari cinta,

Cinta berputik di halaman rumah

Jauh tuan mencari dunia

Dunia terbentang di depan mata.


Jauh tuan mencar kekasih

Kekasih tuan berlari-lari

Jauh tuan mencari diri

Diri tegak di dalam hati.

Friday, March 27, 2009

Doa Untuk ayahanda Pak Shuhaibun

Sebaik sampai di Kota Kinabalu pada petang 24/03/2009, dari melawat ayah saya di kampung kerana uzur, saya menerima SMS drp. Sdr.Abdul Naddin [Tim. YDP.1 IPS] menyatakan bahawa Pak Shuhaibun Yussof [Datuk] berada di hospital QE, KK. kerana sakit.
Lalu saya menjanjikan Sdr. Naddin agar kami melawat beliau esok, memandangkan malam tersebut saya juga telah diundang untuk menghadiri bacaan Yassin dan tahlil doa arwah Sdr. Sani Abdullah [bapa mertua adik saya]. Saya berhasrat untuk melawat Pak Shuhaibun pada keesokan harinya [pada sebelah paginya] sebelum saya berangkat ke Kuala Lumpur. Namun malang hasrat saya tak kesampaian. Belum sempat ke HQE, saya dah diminta oleh ketua rombongan kami untuk ke Terminal 2, KK kerana jadual penerbangan kami ke Kuala Lumpur dah dekat. Lantas saya ke Terminal 2, dan berdoa semoga saya dapat melawat beliau sekembalinya kami dari KL. nanti.
Namun sebaik saya saya di Terminal 2 KK, saya dah diberitahu oleh Sdr. Sulaiman [rakan sekerja di KKBS. dulu] bahawa allahyarham ayahanda Pak Shuhaibun dahpun pergi menemui Illahi untuk selamanya! Saya tunduk dan hanya mampu menitiskan air mata kerana Allah! telah mentakdirkan dia pergi sebelum saya berkesempatan menemuinya.
Saya sesungguhnya mengakui bahawa diri saya adalah anak didik Pak Shuhaibun secara total. Beliaulah yang meminta dan mencadangkan nama saya kepada Prof. Datuk Dr.Ghouse Nasaruddin [Pengarah Pusat Seni, USM ketika itu] untuk saya masuk melanjutkan pengajian saya di Pusat Seni, USM. dalam jurusan Ilmu Kemanusiaan [ Teater dan Sastera]. Beliau secara terus terang meminta agar saya membantu beliau untuk memperjuangkan soal Seni Budaya dan Sastera Negara khususnya yang ada di Sabah ketika itu.
Sebagai kakitangan kementerian, bertugas di Bhg. Kebudayaan, KKBS - suka atau tidak, saya terpaksa akur atas arahan dan kehendak beliau dan pergi ke USM. [1986] dengan meninggalkan pengajian saya dalam jurusan Diploma Pentadbiran Dan Undang-Undang di YSITM [UiTM] di Sembulan, Kota Kinabalu walaupun saya pada ketika itu sebenarnya sudahpun di peringkat semester kedua.
Saya masih ingat, sewaktu beliau menunaikan fardhu haji sekitar 1989? Pak Shuhaibun menghantar surat peribadi beliau kepada saya dari Mekah bertanya khabar tentang perkembangan saya dan sdr. Jamal di universiti ketika itu. Alhamdulillah! dengan keprihatinan beliau yang begitu baik terhadap anak-anak buahnya, maka saya dan Sdr. Jamal telah dapat menyelesaikan pengajian kami di USM. tanpa banyak masalah dan balik ke Sabah dengan jayanya.

Namun malang sekembali kami ke Sabah, saya bersama Sdr.Jamal juga Shuhaimi Magie [kini pensyarah di ASWARA], tidakpun diberi tempat di KKBS atau mana-mana kementerian walaupun sebenarnya kami pada ketika itu adalah pelajar tajaan kementerian dengan memegang biasiswa Kerajaan Negeri. Kami yakin jika Pak Shuhaibun tak berpencen pada ketika itu, kami pasti punya tempat dan tugas di KKBS. negeri.

Hal ini telah menyebabkan kami terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur. Saya dan Suhaimie Maggie ditempatkan untuk bertugas di Kem. Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur kerana tidak punya tempat dan peluang untuk bertugas di negeri sendiri. Sementara sdr. Jamal pula telah bertugas membantu YB. Datuk Railey Jefry di Kementerian Penerangan, sebagai Pegawai Khas Hal Ehwal.
Ketika itu Pak Shuhaibun agak kecewa kerana harapannya untuk kami membantu KKBS. dalam soal memperkembang dan memulihara senibudaya dan sastera [kebudayaan] di negeri Sabah tidak kesampaian. Namun secara peribadi Pak Shuhaibun menyatakan kepada saya sewaktu sempat bertemu beliau dalam seminar sastera di Kota Kinabalu [1994], agar saya tidak berputus asa dan terus berjuang membantu memperkasakan senibudaya bangsa, khususnya yang ada di Sabah ini.
Lantaran itu, sewaktu kursus pidato di Kompleks Sukan Likas, anjuran Pemuda BN Negeri Sabah [1999], beliau cukup marah dan kecewa apabila beliau mengetahui saya telah menyertai politik dan dilantik sebagai jawatankuasa Pemuda BN. Negeri. Saya sempat bertanya kepada beliau mengapakah beliau tidak suka saya menyertai politik?" secara spontan beliau menjawab. "Nanti kamu akan belajar bercakap bohong!". Saya tergamam. Namun belum sempat saya memberikan apa-apa komen, beliau terus berlalu. meninggalkan saya. Tampak di wajahnya beliau begitu kecewa. Tapi saya yakin beliau bukannya kecewa dan tak sukakan orang politik, tetapi beliau agak keciwa dengan keputusan saya menyertai politik.
Secara jujur, saya menyatakan di sini bahawa saya amat terhutang budi terhadap beliau. Beliau seorang nasonalis dan budayawan tulin. Bersama-sama diri beliau jutaan khazanah ilmu budaya dan sastera yang belum sempat kita gali dan terokai. Kita kehilangan seorang tokoh Budayawan Nasional yang besar dan berwibawa. Tiada penggantinya. Saya hanya mampu mensedekahkan beliau Al-Fatihah! serta mendoakan semoga roh ayahanda Pak Shuhaibun dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t serta ditempatkan bersama golongan orang-orang yang salleh. Amin..!!!.

Saturday, March 21, 2009

Pertemuan Membangkitkan Harapan

Saya sempat melayari laman blog sdr.Abdul Naddin, Wartawan Senior Utusan Borneo juga merupakan Timbalan YDP.1 Ikatan Penulis Sabah [IPS]. Terima kasihlah kepada Sdr.Abdul Naddin kerana memaparkan begitu terperinci latar belakang saya. Namun bukan kerana pemaparan itu yang membuat saya 'respond' terhadap pertemuan tersebut. tetapi isu yang kami perbincangkan.
Ada dua perkara yang membangkit nostalgia saya dalam artikel tersebut. Pertama menyingkap pertemuan singkat saya dengan Prof. Madya Dr.Lim di DBP. Sabah baru-baru ini. Seingatan saya, kali pertama saya bertemu dengan Prof. Madya Dr.Lim ialah sekitar tahun 1989/1990 ketika beliau diundang membaca puisi di Universiti Sains Malaysia [USM] anjuran Kelab Sastera USM di mana ketika itu Sdr.Jamal Sulai menjadi YDPnya. Turut sama juga membaca puisi dalam majlis baca puisi tersebut ialah Sdr. Ahmad Termimi Sarigar dan Sdr. Zainal [Zaibo] pelakon popular Drama TV, Sdr.Yalal Chin [mantan Pegawai Kebudayaan USM], Sdr. Zulkiflie Ismail [ pelakon utama drama bersiri Gerak Khas] Sdr.Hilmi [kini Pensyarah Teater, di USM], Sdri. Rosminah Tahir [Dekan Fakuliti-Seni Teater] di Kolej ASWARA dan banyak lagi teman-teman kami yang sama-sama menjadi pelajar di Fakuliti Seni, Pusat Pengajian Kemanusiaan USM ketika itu.
Keduanya; perkara yang menarik perhatian dan membangkitkan nostalgia saya terhadap Prof. Madya ini ialah beliau bukan sahaja seorang Pensyarah Kesusteraan Melayu di UPM, tetapi juga jiwa ke Melayuan yang tumbuh dan tersemai di sanubari beliau sejak sekian lama. Saya sebenarnya saya mengkagumi beliu kerana sikap lemah lembutnya yang pada pengamatan saya lebih menjiwai budaya orang Melayu berbanding sebahagian orang Melayu itu sendiri. Ketika mula mengenali beliau, hati kecil saya bertanya ' bolehkah Sdr.Lim ini membaca puisi / sajak Melayu?. Namun ternyata anggapan awal saya jauh meleset. Malahan pengucapaan puisi beliau lebih baik berbanding yang lain.
Dalam kesempatan itu, kami berbicara bukan sahaja tentang saranan beliau agar Speaker Dewan Rakyat [Tan Sri Pandikara Amin Hj. Mulia] membaca puisi atau pantun yang boleh menyenangkan jiwa YB. Ahli-Ahli Parlimen kita, tetapi juga kami menyentuh perihal sastera dan budaya di negara Malaysia kini. Ada satu keinginan beliau yang belum tercapai - iaitu ingin mengadakan ' Majlis Pengucapan Puisi Antara Kaum di Malaysia'.
Saya juga terus terang menyatakan perhal kebimbangan saya terhadap masyarakat Malaysia di Sabah yang pada saya kini hampir telah kehilangan jatidirinya. Kenapa tidak!!!. Kuda kami yang berlari dengan 'Seriaunya' [loceng dileher] telah hilang dan terlepas di padang luas, hingga tidak lagi kelihatan bayangnya samada di padang, jalanan atau di Muzium Negeri?. Begitu juga 'Dempas Diakatan' [tikar bersulam] tidak lagi terbentang dihamparan di pelamin dan bilik persalinan pengantin pada majlis perkahwinan?. Begitu juga hal perhisan. Ke mana perginya ' Lemba dan Sarimpak'. serta ke mana perginya muzik ' Kulintangan,Betitik dan Parinang?. Atau ke mana menghilangnya ' Runsai dan Isun-Isun'. Jauh sekali kita menemui ' Kalang Sama, Bayuk dan Darengan.!.
Kesemua ini saya luahkan kepada Prof.Madya Dr.Lim, selaku Ahli Senat di ASWARA, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Saya membangkitkan ini semua dengan harapan senibudaya warisan bangsa Malaysia di Sabah ini dapat diterjemakan dalam program pembelajaran di ASWARA nanti.
Kalau tidakpun, harapan besar kami ialah terbinanya MINI ISTANA BUDAYA SABAH [Kompleks Seni Budaya Sabah] itu nanti [seperti yang diumumkan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan Malaysia -YB. Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ], setidak-tidak akan melegahkan rasa kebimbangan kami di Sabah ini, tentang ke lansungan seni budaya warisan bangsa kami di Sabah ini.
Semoga pertemuan singkat itu dan pemaparan ini akan dapat membangkitkan harapan kepada semua kami pengiat dan pencinta senibudaya bangsa, khasnya di Sabah ini. Sekian!

Adat Langkah Bendul- Perlukah Dikekalkan?

Beberapa hari yang lalu saya diundang untuk bersama-sama menyertai rombongan pihak lelaki dari Kg.Likas, Kota Kinabalu ke Penampang bagi majlis peminangan anak saudara sebelah isteri saya. Pada mulanya saya agak keberatan untuk hadir kerana pada masa yang sama saya mempunyai temu janji awal dengan seorang teman dari Kota Belud di bandar Kota Kinabalu.

Tiba-tiba teman itu menalipon saya mengatakan yang beliau tidak dapat datang ke Kota Kinabalu kerana secara kebetulan juga mempunyai urusan yang sama di kampung beliau, di Kota Belud. Maka dengan situasi yang demikian, maka bertukarlah acara kami menjadi pengiring tidak rasmi kepada rombongan pihak silelaki di kampung masing-masing.

Dalam perjalanan ke rumah si perempuan di daerah Penampang, ayah kepada silelaki [yang kebetulan juga adalah abang ipar saya ] yang bersama-sama dengan saya di dalam kereta pacuan empat roda itu bercerita tentang betapa payahnya beliau melakukan perisikan [bertanya dan menyiasat soal adat istiadat siperempuan ] sebelum majlis peminangan dijalankan pada hari tersebut. Lalu saya bertanya kepada beliau ‘apa yang rumitnya?’.

Dia kata banyak perkara. ''Selain siperempuan ini bukan seagama dengan pihak silelaki [lelaki beragama islam] dan mendapat tentangan daripada keluarganya juga perihal hantaran [barian] yang bakal diminta oleh pihak siperempuan. Pada saya hantaran yang diminta agak keterlaluan [mahal] hingga mencecah RM:30,000.00''.
Saya ternganga mendengar kisah benar beliau ini. Lantas saya bertanya – ‘’apa pangkat atau kelulusan siperempuan itu sehingga meminta hantaran yang begitu tinggi dan agak keterlaluan itu ?’’ [Biasanya itulah yang ditanya kalau hantaran yang diminta siperempuan itu terlalu mahal]. Dia kata; ‘’ kerani biasa saja. Tapi adalah sikit kelulusan -diploma. Tapi apa boleh buat, suka sama suka’’. Lantas hati kecil saya berkata '' ini kerja gila'.
Dengan suasana dijalanraya yang agak sibuk dan sesak [traffic jam, maka kami mempunyai masa untuk berbual panjang. Ini kerana jangka waktu masa yang diambil untuk sampai ke rumah siperempuan ini mungkin sekitar setengah jam atau lebih. Maka dalam kesempatan ini saya turut bertanya beliau -selain hantaran tiga puluh ribu ringgit, ada lagikah adat-adat yang pihak siperempuan tu minta?.
Dia kata "Ada. Adat Langkah Bendul’’. Lalu ayah silelaki ini bertanya kepada saya sekali lagi – ‘’wajarkah adat ini dikekalkan lagi?
Namun belum sempat saya menjawab persoalan tersebut, kenderaan kami dahpun sampai. Dan kami terpaksa turun kerana pihak siperempuan sudahpun mepersilakan kami masuk ke dalam rumah bagi menyempurnakan majlis tersebut.

Wednesday, March 11, 2009

KM: PANTUN MEMBANGKITKAN SEMANGAT

Sekitar jam 11.00 pagi tadi, sewaktu ' Majlis Perasmian Pelancaran Seminar Gagasan Bertindak Ekonomi Melayu [GABEM] oleh YAB. Datu Seri Musa Hj. Aman - Ketua Menteri Sabah, YAB. telah meminta izin daripada sidang hadirin untuk beliau memulakan ucapan beliau dengan membaca serangkap Pantun, kerana katanya 'pantun dapat membangkitkan semangat'. Beliau kemudiannya membaca pantun tersebut. Tapi malang saya tak sempat untuk mencatatkan apakah ayat dalam rangkap pantun tersebut, kerana teman yang duduk di sebelah sedang membisikkan sesuatu kepada saya.
Namun apa jua bunyi ayat dalam rangkap pantun tersebut serta bagaimana gaya YAB. Ketua Menteri berpantun, sebenarnya taklah penting sangat kepada saya. Sebaliknya apa yang penting dan menarik perhatian saya ialah kejujuran YAB. memperakui bahawa sesungguhnya puisi tradisional 'pantun' boleh membangkitkan semangat pendengar [peserta persidangan / seminar].
Pengakuan ikhlas YAB. Ketua Menteri ini sesungguh memberikan satu kesan mendalam dalam jiwa kami [orang-orang karyawan / seniman] yang turut hadir dan mengikut pelancaran seminar GABEM Sabah sebut. Ini kerana orang yang bercakap ini bukanlah calang-calang orang. Beliau adalah seorang Ketua Eksekutif Kerajaan [ Ketua Menteri ] juga salah seorang Ahli Majlis Tertinggi Parti UMNO.
Saya menganggap jika orang yang bercakap itu adalah seniman [ apa lagi jika seniman jalanan yang selama ini kurang mendapat tempat dalam mana-mana majlis formal kerajaan-spt. seminar atau persidangan] maka mungkin ungkapan di atas hanyalah dianggap cakap kosong. Lajimnya kata atau ungkapan kebanyakan golongan budayawan, seniman atau karyawan sering dianggap sebagai cakap orang yang suka berilusi atau berkahyal. Tapi bilamana yang bercakap itu adalah 'Seniman Atasan', maka saya fikir cakapnya itu perlu diberikan perhatian oleh pihak-pihak yang berkenaan.
Maka sesungguhnya, apabila YAB. Ketua Menteri sendiri mengakui bahawa 'berpantun boleh membangkitkan semangat' itu dengan sendiri telah memperakui bahawa seni budaya seharusnya mendapat tempat sewajar dalam hati masyarakat atau golongan pemerintah di negara ini.
Mudah-mudahan dengan perakuan ikhlas YAB. ini akan mencetuskan satu revolusi minda masyarakat ke arah membangkitkan semangat mencintai dan memulihara khazanah senibudaya bangsa, khususnya puisi tradisi seperti pantun. Semoga dengan tertanamnya semangat seumpama ini, bangsa kita khususnya Melayu - bumiputera ini akan terpelihara senibudayanya sebagai warisan generasi kita masa kini dan masa akan datang. Seperti kata pepatah ' Bahasa Jiwa bangsa - Budaya nilai bangsa'.
Wallahualam!

Sunday, March 1, 2009

KONSEP DAN FALSAFAH ' ADAT PIKULAN' DALAM PERKAHWINAN MASYARAKAT IRANUN BUMIPUTERA SABAH


Dalam artikel petama, saya telahpun memaparkan secara raingkas bagaimana ‘ konsep adat pikulan’ dalam perkahwinan masyarakat Iranun bumputera Sabah ini dan apakah pula ciri-cirinya. Dalam siri kedua ini, saya pula cuba untuk menjelaskan apakah falsafah di sebalik adat pikulan ini.

ADAT 10 PIKUL DAN 15 PIKUL.

Namun sebelum saya dapat menghuraikan tentang konsep dan falsafah di sebalik ‘ Adat Pikulan' inI, maka izinkan saya terlebih dahulu untuk menjelaskan tentang dua lagi peringkat adat yang belum sempat saya huraikan dalam siri pertama yang lalu. Penjelasan kedua-dua peringkat adat tersebut adalah penting bagi memudahkan pembaca memahami secara lebih mendalam keseluruhan aspeks adat tersebut. Kedua-dua adat yang saya maksudkan ialah ‘ Adat 10 Pikul dan juga ‘Adat 15 Pikul’.

Sebagaimana adat 7 pikul atau 8 pikul [yang merujuk kepada atau milik masyarakat kebanyakan], maka adat 10 pikul pula adalah merujuk kepada adat bagi golongan bangsawan keturunan Bai. Bai adalah anak-anak atau cucu-cicit atau generasi kepada golongan bangsawan keturunan sebelah perempuan. Dalam konteks sejarah silam atau sejarah kesultanan Melayu, gelaran Bai dalam masyarakat bumiputera Iranun ini, barangkali ia bolehlah dianggap sama seperti keturunan adat puteri di raja atau sultan. Dalam ertikata lain, anak-anak kepada puteri diraja [bai] yang berkahwin dan suaminya daripada golongan orang kebanyakan [rakyat biasa], maka apabila mempunyai anak atau cucu / cicit perempuan maka berhak untuk menggunakan adat 10 pikul ini.

Sementara adat 15 pikul adalah dianggap adat tertinggi dalam komuniti ini. Adat ini adalah diberi dan menjadi hak milik bagi kerabat Datu-Datu, Sultan atau Ketua Pemerintah. Dalam konteks masa kini, maksud pemerintah ia adalah sama statusnya dengan kedudukan Ketua atau Pembesar Daerah atau negeri seperti Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri atau Gabenor dan juga para Menteri atau setaraf dengannya.
Pemakaian kedua-dua peringkat adat ini dianggap sebagai mempunyai ststusnya yang tersendiri. Meskipun tiada larangan khusus atau hukuman khas tentang penggunaan adat ini, namun seseorang yang menggunakan-pakai adat yang bukan pada tempat atau tarafnya, maka ia dianggap sebagai mengada-ada. Atau lebih tepat cuba mengangkat mertabat keturunan sendiri.

Walaupun kedua-dua sistem adat ini hampir sama dengan 'adat 7 pikul atau adat 8 pikul', namun terdapat sedikit perbezaannya dari segi jumlah hantaran barian [pemberian-hadiah] serta jumlah lembu /kerbau yang patut diminta oleh pihak siperempuan. Jika adat tujuh atau lapan, si lelaki perlu memberikan wanita [bakal iseteri atau keluarga siperempuan] sebanyak 5 ekor lembu atau kerbau dan wang hadiah wang tunai [sebenarnya adalah maskahwin] sebanyak seratus empat puluh [RM:140.00] tetapi sebaliknya bagi adat 10 pikul, lembu atau kerbau yang patut diberikan kepada pihak siperempuan adalah sebanyak 8 ekor berserta dengan wang tunai hadiah sebanyak dua ratus ringgit. [RM:200.00] dan bagi adat 15 pikul, jumlah lembu atau kerbau adalah sebanyak 10 ekor dan wang tunai hadiah sebanyak ratus [Rm:300.00 tunai].

Persoalannya, bagaimana kalau si lelaki tidak mempunyai lembu atau kerbau hidup?. jawapannya, pihak silelaki perlu memohon 'perundingan, meminta keizinan agar haiwan lembu atau kerbau tadi digantikan dengan wang ringgit.

Apakah sebenarnya yang menarik bagi ketiga-tiga peringkat sistem adat pikulannya ini?. Jika dilihat sekali pandang ia tidak mempunyai apa-apa perbezaan dengan mana-mana kebanyakan adat masyarakat Melayu yang ada di rantau Tanah Melayu ini, terutamanya di Semenanjung Malaysia. Namun demikian, jika diperhatikan atau dikaji dengan diteliti, maka terserlah perbezaa tersebut dengan adat kebanyakan. Umpamanya terdapat setengah suku kaum, apabila dirujuk hantaran haiwan [lembu atau kerbau mislannya] mungkin ia dirujuk kepada berat atau saiz binatang tersebut ataupun sebaliknya.

Tetapi dalam masyarakat bumiputera Iranun Sabah ini, hantaran bagi haiwan ini dirujuk kepada saiz panjang atau pendek tanduk haiwan tersebut. Umpamanya saiz tanduk haiwan yang berukuran kira-kira Sarangau [sejengkal] kira-kira ukuran metrik 6 inci dan ke bawah adalah dianggap satu ekor. Manakala jika ukuran tanduknya melebihi daripada sarangau [ sejengkal] iaitu kira-kira setengah kaki dan lebih] maka ia boleh dianggap sama seperti bilangannya dua ekor. Dalam erti kata lain, haiwan tadi mungkin sifatnya seekor jadi dua. Atau lebih tepat istilahnya ‘ satu nyawa dua badan’. Begitulah sebaliknya.
Satu lagi persoalan yang mungkin akan ditanya oleh pihak silelaki kepada wakil pihak siperempuan - iaitu kenapakah tidak terus saja di berikan perempuan itu 'wang hantaran tunai' atau lebih tepat istilah morden ' by cash'? ketika berlaku urusan perundingan zantara pihak silelaki dengan pihak siperempuan.
Untuk kes sebegini, anda dinasihatkan supaya tidak mengemukakan soalan sedemikian. Ini kerana soalan itu mungkin menyingung perasaan pihak siperempuan. Atau anda mungkin mendapat jawapan yang memeranjatkan.' Contohnya, pihak siperempuan mungkin akan menjawab '' Perempuan ini orang - bukan barang yang boleh diperdagangkan''. Mana ada manusia yang jual orang dan boleh ditawarkan harganya. Yang boleh dijual dan ditawar harganya hanya benda atau haiwan".
Dari jawapan yang diberikan di atas, maka anda boleh faham bahawa proses tawar menawar dalam majlis peminangan ini bukanlah pada nilai hantaran atau barian siperempuan tetapi sebaliknya pada nilai harga haiwan [lembu atau kerbau] yang dijadikan hantaran tersebut. Ini kerana hanya barangan [benda atau haiwan] sahajalah yang boleh diletakan nilai harga. Sedang harga dan nilai sebenar seorang manusia yang bergelar ' perempuan ' itu hanya Allah' sahaja dapat tahu. Sekian!
wallahuallm!

Thursday, February 26, 2009

Seni dan seniman mengikut konsep Plato



SENI DAN SENIMAN MENGIKUT KONSEP PLATO - SATU RENUNGAN

Minggu lalu, sahabat lama saya [ seorang ahli politik, yang juga Ketua Bahagian salah sebuah parti berpengaruh di Negara ini ] telah mengundang saya untuk hadir ke rumah beliau - majlis bacaan Yassin dan kenduri tahlil. Tiba-tiba, sebaik sahaja selesai membaca tahli,l rakan karib saya itu juga adalah Ketua Pemuda parti Bahagian berkenaan [ yang juga turut hadir di majlis tersebut dan secara kebetulan kami duduk bersebelahan ] secara spontan bertanya kepada saya secara berbisik ] ‘’apakah makna seni dan juga hiburan’’.

Saya agak terkejut, kerana jarang sekali orang-orang politik bertanya perihal seni dan hiburan ini. Kebiasaannya orang politik akan tanya kepada saya tentang apakah pandangan peribadi saya terhadap keadaan politik semasa Negara dan khususnya di negeri ini.

Lalu secara spontan saya menjawab; ‘’seni itu adalah sesuatu yang halus dan cantik. Sementara hiburan – ialah sesuatu yang menyenangkan dan menghiburkan pendengar dan penonton’’. Tapi saya kata mesti ada syarat iaitu; ‘ seni dan hiburan itu mesti tidak bercanggah dengan hukum agama, kepercayaan dan juga adat resam pendengar atau penontonnya’’. Jika bercanggah, ia bukan lagi ‘seni dan hiburan’ sebaliknya ia dianggap sebagai ‘ seksa dan haburan’. Seksa kerana pelaku seni [seniman, penyair, pelukis, penyanyi atau karyawan ] mungkin akan diherdik dan dihabur dengan kata-kata yang kurang sopan oleh pendengar atau penonton. Jika ini berlaku, maka sudah pasti audien tidak terhibur.

Lantas saya juga bertanya kepada rakan karib saya ini, tentang apakah sebenarnya yang mendorong beliau bertanyakan hal ini kepada saya ‘’. Katanya; ‘’ada majlis forum yang berkaitan dengan hal ini - di mana dia adalah salah seorang ahli panelnya’’. Lalu hati kecil saya berkata, rupanya ada juga orang politik yang ingin tahu perihal ‘seni dan hiburan ‘ini.

Lantaran peristiwa di atas, maka saya telah terdorong untuk menulis semula artikel di atas [ yang pada dasarnya artikel ini telah pernah dimuatkan dalam sebuah akhbar tempatan bahasa Melayu – Edisi Sabah dan Sarawak ] sejak 14 tahun yang lalu bertarikh 6 Rabiulakhir, tahun 1416 muka surat 5. Saya mengharapkan dengan tersiarnya artikel ini nanti, maka ia setidak-tidaknya akan sedikit memberi manafaat kepada pembaca umum - khususnya golongan karyawan, seniman, penyair, pelukis, penyanyi, pelakon, penulis juga termasuk golongan politik atau sesiapa sahaja yang ingin memahami lebih mendalam tentang apakah itu seni dan apakah itu hiburan, setidak-tidaknya untuk renungan peribadi pembaca.

Namun begitu, sebelum kita dapat menghuraikan pendapat Plato terhadap ‘ seni dan seniman’ [ khusus yang bergiat pada zamannya ] maka elok juga kita mengetahuai sedikit sebanyak latar belakang dan sikap beliau terhadap seni secara umum.
Plato, adalah seorang ahli falsafah dan pemikir barat berbangsa Athens. Beliau dilahirkan sekitar tahun 427 sebelum masehi. Beliau adalah rakan karib dan juga sekaligus sebagai anak murid kepada ahli fikir barat yang terkenali iaitu Socrates. Plato juga adalah seorang pengarang dan penulis. Beliau telah menulis tidak kurang 36 buah buku. Antara buku beliau yang tersohor ialah Republik yang membicarakan tentang politik, ekonomi, pentadbiran, sosial, seni juga seniman.

Dalam konteks seni, Plato berpendapat bahawa membuat kasut, membuat selipar [pereka fesyen / fishion designer] mengubati orang sakit [ teater tradisional-seperti Manora, Makyong dan Main Puteri – Di Semenanjung Malaysia serta Menggalai dan Ajung Berlabuh – di Sabah], mengarang buku [ pengarang /penulis /karyawan], membaca puisi [seniman /artis /pelakon], membuat kereta kuda [kraftangan] atau memahat arca figura [pelukis / pembuat arca ], membina rumah [arkiteks] adalah dianggap sejumlah pekerja dan hasil-hasil kerja yang dapat ditakrif sebagai seni.

Pentakrifan makna seni menurut Plato itu agak menyukarkan kita dari satu segi. Namun dari satu segi yang lain pula mungkin akan menyenangkan kita. Kita katakan sukar sebab apakah taraf setiap satu bidang itu sama sahaja atau adakah setiap satu bidang itu mempunyai rangka hirakinya yang tersendiri, yakni yang berperingkat-peringkat dari satu tahap rendah ke tahap yang lebih tinggi. Berdasarkan hujah-hujah Plato yang terkandung dalam bukunya Republik ini, kita dapat membuat beberapa rumusan umum seperti berikut;

Pertama; Masyarakat yang dibayangi oleh Plato mesti distrukturkan mengikut kelas. Oleh yang demikian mungkin hiraki seni juga turut distrukturkan berperingkat-peringkat berdasarkan guna atau faedahnya.

Kedua; Plato sebenarnya tidak senang dengan kaum seniman. Defenisinya terhadap orang-orang ini mempunyai sindiran-sindiran yang tersirat; umpamanya dia mengatakan bahawa seseorang penyair itu;

‘’…a poet is a light winged thing and holy, never able to compos until he has become inspired, and is beside him self and reason is no longer in him’’

Dari definisi itu, tiga perkara wujud;- 1. Seniman itu mestilah bersih segi fizikal dan mental. 2. Seniman memerlukan inspirasi atau sumber ilham. 3. Seniman itu juga seolah-olah hilang akal.

Namun Plato menegaskan bahawa ‘seni itu adalah ilmu’. Oleh itu, sesuatu bidang kerja seni semestinya berdasarkan ilmu. Katanya; ‘’ Seni itu sejenis ilmu atau jenis ilmu yang lain dan setiap satunya aku berikan nama’.

Mengikut Plato juga, seorang arkiteks boleh menjadi seorang doktor, sekiranya dia mempunyai ilmu dalam bidang binaan juga perubatan. Untuk itu bagi menilai sama ada sesuatu karya seni itu baik atau tidak, maka seseorang penilai seni mesti tahu apakah yang baik dan apakah yang tidak baik.
Oleh itu seseorang pengkritik tidak hanya tahu mengkritik yang baik tetapi tidak arif tentang apakah yang tidak baik. Jadi sama ada baik atau tidak baik, kedua-duanya memerlukan ilmu yang intim. Jelas apa yang ditegaskan oleh Plato ialah bahawa pendapat terutamanya yang berunsur judge mental mesti berasaskan ilmu dan pengalaman.

Plato berpendapat, bahawa salah satu defenisi seni ialah seni itu harus bersifat imatasi – iaitu peniruan. Peniruan ini dilakukan oleh seniman dengan cara sesempurna yang mungkin, yakni mengikut kadar bandingan objek asal secara terperinci. Setiap benda yang ingin ditiru oleh seniman itu mesti ditiru menggunakan warna dan bentuk yang setepatnya dan sepadan mungkin.

Namun demikian Plato dengan sendirinya melakukan sesuatu kontradaksi kerana dia juga berpendapat bahawa seniman jangan terlalu dekat atau terlalu terpikat kepada objek asal yang ingin dijadikannya imej. Bagi Plato yang penting ialah imej yang dihasilkan oleh seniman itu mesti kelihatan cantik.

Apakah keindahan atau beauty menurut Plato? Plato berpendapat bahawa beauty ialah ‘’ yang baik, yang berpatutan, yang bersesuaian, yang seimbang, yang menyenangkan dan yang cantik’’. ‘’ Beauty, the good, beneficial, the reasonable, the appropriate, the balance, the pleasant the handsome’’.
Maka dari istilah-istilah ini jelas, Plato memikirkan bukan tentang seni yang khusus, akan tetapi tentang tabiat dan kelakuan manusia. Dia mengajak kita menggunakan deskripsi seni. Namun pada masa yang sama juga mengajak kita memberi kata lawan kepada senarai-senarainya tadi. Dengan demikian maka dapatlah kita bayangkan ciri-ciri kesenian yang cantik yang diinginkan oleh Plato wujud di dalam Republikan yang ideal itu. Bila istilah-istilah ini dikenakan [dipadankan] kepada karya-karya seni, maka Repbulik yang diidam-idamkan oleh Plato itu, pasti akan menghasilkan karya-karya seni yang sama dengan idealnya.
Persoalannya, adakah Plato percaya kepada seniman! Sebenarnya sikap Plato terhadap seniman adalah berbelah bagi. Kepercayaannya kepada seniman mempunyai syarat; iaitu bahawa seniman mesti bergantung kepada akal dan bukan kepada hati [perasaan].
Untuk menentukan samada hasil karya itu terbit dari sikap peniruaan [akal] atau imaginasi atau emosi [perasaan], maka mesti ada pihak yang menapis karya-karya seniman tersebut, terutama oleh pihak berkuasa. ‘ Sensorship’ atau penapisan ini dilakukan demi menentukan bahawa hanya karya-karya yang bersifat seperti yang disebutkannya tadi lulus penapisan itu.
Karya-karya yang baik dan yang benar-benar harmoni boleh tinggal di negeri Repbulikan idamannya. Namun orang tidak baik, suka bercakap bohong, mengganggu keharmonian atau kelas hendaklah dibasmi [dipinggirkan] atau dibuang keperbatasan. Malahan jika perlu, dibuang negeri sama sekali. Begitu juga dengan seni. Tindakan yang dianggap keterlaluan ini adalah wajar bagi plato demi menjaga keharmonian dan keselamatan negara.
Plato menginginkan para penyair dan para seniman menjadi ‘ Pendidik Negara’ dan bukan Pengkritik pemerintah. Oleh itu para seniman di zaman Plato sering tidak menggalakkan terbitnya elemen-elemen yang rendah [tidak bermoral dan beretika] di kalangan para penduduk sehingga terbitnya berjenis-jenis nafsu [ mesej dalam karya] yang tidak puas yang boleh menganggu gugat keharmonian elemen-elemen [dalaman] yang rasional yang ada di dalam diri manusia.

Plato juga menegaskan para pelukis dan para seniman dan [ tentu juga para penulis yang lain] yang amat suka meniru khayalan orang lain sehingga penonton atau pembaca yang menonton dan pembaca karya mereka terpisah daripada realiti. Hasil karya seni seperti itu akan mencabar keupayaan [minda ] audien mengenal mana-mana yang besar [karya terbaik ] serta mana-mana karya yang kecil [kurang bermutu]. Audien juga sukar mengenal mana-mana yang baik dan mana-mana yang tidak baik. Oleh itu Plato menganggap seniman adalah mahluk yang mesti dikawal kelakuannya dan ditapis karyanya.

Jadi apa yang tersirat di dalam konsep dan pemikiran Plato ialah bukan semua penyair, pelukis atau seniman mesti dibasmi atau dibuang negeri. Penyair yang mengarang puisi memuji para dewata [puisi berunsur ketuhanan ] dibenarkan hidup atau tinggal di dalam negeri Repbulik idamannya. Sementara itu seniman yang mengarang lirik atau epik dari jenis-jenis karangan puisi yang boleh menyebabkan pendengar atau audien merasa nikmat [khayal/ghairah] atau derita [kecewa/merana] tidak dibenarkan tinggal di Kota Repbulikan kerana mereka akan berkelakuan seperti orang yang dirasuk, dan orang-orang ini seperti lupa tentang undang-undang dan hilang akal. Sebaliknya puisi yang imitative yang membina ahlak dan menakjubkan akal, akan terus digalakkan di dalam Republikan idamannya.

Maka oleh itu, bagi Plato, seni mesti berguna bukan sahaja kepada rakyat dan penghidupan manusia tetapi juga kepada pihak pemerintah.

Namun pada saya, para pengiat seni atau mereka yang digelar seniman juga penonton atau pendengar [audien] – seni itu seharusnya bukan sahaja perlu menjadi suatu alat hiburan atau seniman itu menjadi penghibur tetapi juga seni harus menjadi wadah untuk mendidik masyarakat agar masyarakat itu bukan sahaja dapat mencintai kreativiti, kecantikan, kehalusan, keharmonian, kedamaian, kesejehteraan dunia – tetapi juga seharusnya untuk kedamaian dan kesejehteraan yang abadi.

Pendekkata – ‘seni’ seharusnya dapat membawa kita [seniman dan audien] mendekati dan mencintai Tuhan kerana sesungguhnya Tuhan suka kepada sehalusan dan kecantikan.

Wallahuallam

ADAT 'PIKULAN' DALAM PERKAHWINAN MASYARAKAT BUMIPUTERA IRANUN SABAH



Mungkin kita akan tertanya-tanya, mungkin juga terkejut apabila mendengar permintaan ‘Hantaran [barian ] dan Mas Kahwin itu' diluar kebiasaan. Atau jarang-jarang kita dengar dalam bahasa perbualan seharian. Mungkin juga hati kita [sipendengar] tertanya-tanya samada yang kita dengar itu betul sebutannya serta menepati adat dan budaya pihak si perempuan, ketika rombongan pihak si lelaki datang bertandang untuk majlis ‘Pagidsa-idsa’ [ peminangan ] yang dilakukan dalam masyarakat bumiputera Iranun di Sabah.


Lebih mengejutkan lagi apabila istilah-istilah yang digunakan oleh wakil pihak si perempuan [ Babai ] itu amat jarang kita dengar dalam pertuturan seharian kita. Hal ini berlaku oleh kerana kebiasanya sesuatu kaum itu, terutamanya masyarakat pribumi Iranun Sabah ini jarang sekali mendedahkan sesuatu adat atau budaya milik mereka kepada pihak kedua atau ketiga [ samada pengkaji, penulis atau media-massa]. Lebih-lebih lagi jika tujuannya hanya semata-mata untuk ingin diberitahu kepada orang di luar lingkungan masyarakat pengamal budaya tersebut.


Pemaparan adat dan budaya Masyarakat pribumi Iranun Sabah ini, jika lakukan tanpa tujuan yang jelas, kemungkinan besar bagi sesetengah orang, terutama penghulu [ Ketua Masyarakat - terutamanya golongan Datu-Datu atau Bai ] mahupun penghulu adat [ Orang Tua / Ketua Kampung ] menganggapnya sebagai suatu perlakuan yang kurang sihat dan boleh menjejaskan nilai adat dan budaya tersebut dari konteks sudut pandangan sesuatu berkenaan.
Ini kerana pemegang adat, terutama golongan bangsawan [Datu-Datu] melihat adat ini sebagai sesuatu yang murni dan perlu dilakukan atau dilafaz dengen penuh beretika. Kerana itu tidak hairanlah jika pihak si lelaki [orang yang bakal meminang] pada kelazimannya - terlebih dahulu mencari seorang jurubicara [ bagi pihak lelaki ] yang faham dan tahu tentang hal-ehwal dan makna adat 'Pikulan' ini.


Maka lantaran itu, sebelum sesuatu majlis peminangan dilakukan, maka pihak lelaki [ wakil] akan terlebih dahulu meresik secara senyap bertanya tentang perihal adat-istiadat si perempuan. Kepentingan merisik secara senyap terasa perlu dibuat atau dilakukan oleh pihak si lelaki terutama jika lelaki [ bakal peminang ] itu bukan dari kumpulan etnik atau lingkungan pengamal budaya masyarakat ini sendiri.


Kebiasaannya, semasa proses merisik dan seterusnya meminang, beberapa ungkapan akan kedengaran daari wakil siperempuan. Antara ungkapan-ungakapan biasa disebut ialah seperti berikut;-

1. Barian

2. Sapi [Lembu]

3. Pelit

4. Sewaka

5. Benga

6. Getas Sarirai

7. Damak

8. Keris

9. Dan sebagainya di samping mas kahwin.


[ Nota:Oleh kerana Masyarakat bumiputera Iranun Sabah adalah seratus peratus beragaama Islam, maka tentu sekali mas kahwinnya adalah selaras seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama].


Namun begitu apa yang menarik dalam adat komuniti ini ialah kesemua adat dan barian [hantaran ] ini dirujuk dalam satu istilah yang disebut ' PIKULAN'. Jumlah pikulan inilah juga yang akan menentukan berapakah sebenarnya nilai barian atau hantaran yang perlu dikeluarkan oleh pihak silelaki kepada keluarga pihak siperempuan.


Apa tanggapan anda terhadap istilah 'Pikulan' ini.? Adakah ia merujuk kepada berat timbangan atau nilai duit wang yang perlu diberikan?. Mungkin ya. Mungkin juga tidak. Ini kerana 'Pikulan' dalam konteks adat-istiadat peminangan dan perkahwinan masyarakat pribumi Iranun ini sebenarnya merujuk kepada jumlah atau nilai harga ' Lembu atau kerbau' yang bakal diminta oleh pihak si perempuan.


Dalam konteks masyarakat Iranun Sabah, terdapat tiga peringkat adat yang sering diamalkan. Antara adat-adat tersebut ialah ' Adat 7 pikul atau 8 pikul ' Adat 10 pikul dan Adat 15 pikul. Lazimnya adat 7 pikul atau juga 8 pikul adalah untuk golongan orang biasa atau masyarakat umum. Adat 10 pikul adalah untuk golongan Bai. Sementara Adat 15 pikul adalah untuk golongan Datu atau bangsawan. Bagi memudahkan kita memahami asas adat pikulan ini, maka saya perturunkan dibawah ini adat bagi masyarakat kebanyakan, untuk perhatian dan tatapan anda semua.


ADAT 7 PIKUL [ PEREMPUAN] - GOLONGAN MASYARAKAT UMUM.


1. Elaga - 7 Pikul
2. Barian [ Hantaran] - [ 5 Ekor lembu / kerbau ]
3. Pelit - 2 pikul [ untuk nenek lelaki si perempuan ]
4. Sewaka - 1 pikul [ untuk nenek perempuan ]
5. Benga - 1 pikul [ ketua adat / ketua kampung]
6. Getas Sarirai - 1 pikul [jurubicara adat / pemuda cara ]
7. Hulu adamak - 1 pikul [ tetamu jemputan / yang menyambut pengantin lelaki ]
8. Keramaian - 1 pikul [ pekerja dapur ]
9. Mas kahwin - RM 100.00 [ hak mutlak pengantin perempuan ]
10. Jurunikah - 5 pikul [ RM 100.00]
11. Saksi - [ nilai ditetapkan oleh pihak pberkuasa agama ]
12. Usunan - Sebuah kenderaan yang diperbuat daripada bambo [ buluh ].


Namun demikian, janganlah anda terkejut jika nilai pikulan juga boleh digantikan [ditukar dengan wang yang cuma nilainya berjumlahRM:20.00 ringgit. Percaya tidak? Namun apapun sebenar adat ini bukanlah sesuatu yang mutlak. Ia akan bergantung kepada berbincangan dan perundingan antara pihak perempuan dan juga pihak si lelaki.


Semoga apa yang saya paparkan ini akan memberikan asas pengetahuan dan pemahaman anda terhadap adat masyarakat atau komuniti ini. Saya berharap pemaparan ini akan memberikan manfaat terutama kepada pihak lelaki yang berhasrat meminang atau berkahwin dengan si gadis daripada masyarakat Iranun pribumi Sabah ini.


Sekian.

Sunday, February 15, 2009

BUDAYA - JANJI ORANG KITA!

Wah duh!
Saya seolah-olah menjadi bingung. Bingung memikirkan sikap atau tabiat sebahagian besar orang-orang kita. Orang-orang kita perangainya agak pelik. Ketika dia memerlukan pertolongan dari kita untuk mencapai kepentingan diri atau misi peribadinya, ia akan mencari dan 'membudik' kita -meminta pertolongan bagi mencapai maksud yang dihajatinya.
Ketika orang-orang kita ini meminta bantuan atau pertolongan, bermacam-macam janji ditaburkannya. Malahan ada ketikanya ia akan 'bersumpah' menunaikan apa sahaja syarat yang kita minta, yang penting matlamat mereka tercapai. Kebanyakan janji yang ditabur oleh orang-orang kita - sering berkisar samada dalam soal politik, soal meminta bantuan bagi mendapatkan kontrak atau jawatan politik atau meminta pertolongan untuk melobi jawatan kenaikan pangkat atau sebagainya.
Persoalan yang ingin saya bangkitkan di sini, bukannya soal samada janji itu tertunai atau tidak. Tetapi tabiat atau budaya orang kita yang suka menabur janji. Kenapakah orang-orang kita bersikap sedemikian?
Dalam konteks masyarakat Melayu ' JANJI' adalah cerminan peribadi orang kita. Jika orang yang berjanji itu dapat menunaikan apa yang dijanjikannya, itu mencermin leluhur peribadinya sebagai seorang insan yang berbudi mulia dan menunaikan apa yang dikata. Bak kata pepatah 'janji mesti dikota'. Kalau tak dikota, maka alamatnya ' kerana pulut santan binasa - kerana mulut badan binasa'. Itulah ungkapan yang sering kita dengan dalam konteks budaya Melayu.
Tetapi orang kita, sering di rujuk sebagai orang Melayu. Dan orang Melayu pula sering di rujuk sebagai orang beragama Islam [walaupun tak semestinya begitu] kerana di negara tetangga - misalnya di Indonesia atau negara-negara Asean lain, terdapat juga orang kita [Orang Melayu] yang tidak beragama Islam.
Namun bagi negera Brunei dan Malaysia, apabila merujuk Orang Melayu, ia pasti dilebelkan sebagai orang Islam. Nah! jika ini kita terima sebagai asas pegangan kita menilai terhadap orang kita [ orang Melayu - khususnya bumiputera Islam ] sikap berjanji - tapi tak ditepati ini adalah suatu budaya yang amat malang! Apakah hukumnya dalam Islam jika berjanji - tapi tak ditunaikan...??? Nahujubbilah!!!
Jadi mohonlah jangan berjanji, jika kita tak mampu tunaikan!
Wassallam!