Saturday, March 21, 2009

Adat Langkah Bendul- Perlukah Dikekalkan?

Beberapa hari yang lalu saya diundang untuk bersama-sama menyertai rombongan pihak lelaki dari Kg.Likas, Kota Kinabalu ke Penampang bagi majlis peminangan anak saudara sebelah isteri saya. Pada mulanya saya agak keberatan untuk hadir kerana pada masa yang sama saya mempunyai temu janji awal dengan seorang teman dari Kota Belud di bandar Kota Kinabalu.

Tiba-tiba teman itu menalipon saya mengatakan yang beliau tidak dapat datang ke Kota Kinabalu kerana secara kebetulan juga mempunyai urusan yang sama di kampung beliau, di Kota Belud. Maka dengan situasi yang demikian, maka bertukarlah acara kami menjadi pengiring tidak rasmi kepada rombongan pihak silelaki di kampung masing-masing.

Dalam perjalanan ke rumah si perempuan di daerah Penampang, ayah kepada silelaki [yang kebetulan juga adalah abang ipar saya ] yang bersama-sama dengan saya di dalam kereta pacuan empat roda itu bercerita tentang betapa payahnya beliau melakukan perisikan [bertanya dan menyiasat soal adat istiadat siperempuan ] sebelum majlis peminangan dijalankan pada hari tersebut. Lalu saya bertanya kepada beliau ‘apa yang rumitnya?’.

Dia kata banyak perkara. ''Selain siperempuan ini bukan seagama dengan pihak silelaki [lelaki beragama islam] dan mendapat tentangan daripada keluarganya juga perihal hantaran [barian] yang bakal diminta oleh pihak siperempuan. Pada saya hantaran yang diminta agak keterlaluan [mahal] hingga mencecah RM:30,000.00''.
Saya ternganga mendengar kisah benar beliau ini. Lantas saya bertanya – ‘’apa pangkat atau kelulusan siperempuan itu sehingga meminta hantaran yang begitu tinggi dan agak keterlaluan itu ?’’ [Biasanya itulah yang ditanya kalau hantaran yang diminta siperempuan itu terlalu mahal]. Dia kata; ‘’ kerani biasa saja. Tapi adalah sikit kelulusan -diploma. Tapi apa boleh buat, suka sama suka’’. Lantas hati kecil saya berkata '' ini kerja gila'.
Dengan suasana dijalanraya yang agak sibuk dan sesak [traffic jam, maka kami mempunyai masa untuk berbual panjang. Ini kerana jangka waktu masa yang diambil untuk sampai ke rumah siperempuan ini mungkin sekitar setengah jam atau lebih. Maka dalam kesempatan ini saya turut bertanya beliau -selain hantaran tiga puluh ribu ringgit, ada lagikah adat-adat yang pihak siperempuan tu minta?.
Dia kata "Ada. Adat Langkah Bendul’’. Lalu ayah silelaki ini bertanya kepada saya sekali lagi – ‘’wajarkah adat ini dikekalkan lagi?
Namun belum sempat saya menjawab persoalan tersebut, kenderaan kami dahpun sampai. Dan kami terpaksa turun kerana pihak siperempuan sudahpun mepersilakan kami masuk ke dalam rumah bagi menyempurnakan majlis tersebut.

No comments: