Sunday, March 1, 2009

KONSEP DAN FALSAFAH ' ADAT PIKULAN' DALAM PERKAHWINAN MASYARAKAT IRANUN BUMIPUTERA SABAH


Dalam artikel petama, saya telahpun memaparkan secara raingkas bagaimana ‘ konsep adat pikulan’ dalam perkahwinan masyarakat Iranun bumputera Sabah ini dan apakah pula ciri-cirinya. Dalam siri kedua ini, saya pula cuba untuk menjelaskan apakah falsafah di sebalik adat pikulan ini.

ADAT 10 PIKUL DAN 15 PIKUL.

Namun sebelum saya dapat menghuraikan tentang konsep dan falsafah di sebalik ‘ Adat Pikulan' inI, maka izinkan saya terlebih dahulu untuk menjelaskan tentang dua lagi peringkat adat yang belum sempat saya huraikan dalam siri pertama yang lalu. Penjelasan kedua-dua peringkat adat tersebut adalah penting bagi memudahkan pembaca memahami secara lebih mendalam keseluruhan aspeks adat tersebut. Kedua-dua adat yang saya maksudkan ialah ‘ Adat 10 Pikul dan juga ‘Adat 15 Pikul’.

Sebagaimana adat 7 pikul atau 8 pikul [yang merujuk kepada atau milik masyarakat kebanyakan], maka adat 10 pikul pula adalah merujuk kepada adat bagi golongan bangsawan keturunan Bai. Bai adalah anak-anak atau cucu-cicit atau generasi kepada golongan bangsawan keturunan sebelah perempuan. Dalam konteks sejarah silam atau sejarah kesultanan Melayu, gelaran Bai dalam masyarakat bumiputera Iranun ini, barangkali ia bolehlah dianggap sama seperti keturunan adat puteri di raja atau sultan. Dalam ertikata lain, anak-anak kepada puteri diraja [bai] yang berkahwin dan suaminya daripada golongan orang kebanyakan [rakyat biasa], maka apabila mempunyai anak atau cucu / cicit perempuan maka berhak untuk menggunakan adat 10 pikul ini.

Sementara adat 15 pikul adalah dianggap adat tertinggi dalam komuniti ini. Adat ini adalah diberi dan menjadi hak milik bagi kerabat Datu-Datu, Sultan atau Ketua Pemerintah. Dalam konteks masa kini, maksud pemerintah ia adalah sama statusnya dengan kedudukan Ketua atau Pembesar Daerah atau negeri seperti Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri atau Gabenor dan juga para Menteri atau setaraf dengannya.
Pemakaian kedua-dua peringkat adat ini dianggap sebagai mempunyai ststusnya yang tersendiri. Meskipun tiada larangan khusus atau hukuman khas tentang penggunaan adat ini, namun seseorang yang menggunakan-pakai adat yang bukan pada tempat atau tarafnya, maka ia dianggap sebagai mengada-ada. Atau lebih tepat cuba mengangkat mertabat keturunan sendiri.

Walaupun kedua-dua sistem adat ini hampir sama dengan 'adat 7 pikul atau adat 8 pikul', namun terdapat sedikit perbezaannya dari segi jumlah hantaran barian [pemberian-hadiah] serta jumlah lembu /kerbau yang patut diminta oleh pihak siperempuan. Jika adat tujuh atau lapan, si lelaki perlu memberikan wanita [bakal iseteri atau keluarga siperempuan] sebanyak 5 ekor lembu atau kerbau dan wang hadiah wang tunai [sebenarnya adalah maskahwin] sebanyak seratus empat puluh [RM:140.00] tetapi sebaliknya bagi adat 10 pikul, lembu atau kerbau yang patut diberikan kepada pihak siperempuan adalah sebanyak 8 ekor berserta dengan wang tunai hadiah sebanyak dua ratus ringgit. [RM:200.00] dan bagi adat 15 pikul, jumlah lembu atau kerbau adalah sebanyak 10 ekor dan wang tunai hadiah sebanyak ratus [Rm:300.00 tunai].

Persoalannya, bagaimana kalau si lelaki tidak mempunyai lembu atau kerbau hidup?. jawapannya, pihak silelaki perlu memohon 'perundingan, meminta keizinan agar haiwan lembu atau kerbau tadi digantikan dengan wang ringgit.

Apakah sebenarnya yang menarik bagi ketiga-tiga peringkat sistem adat pikulannya ini?. Jika dilihat sekali pandang ia tidak mempunyai apa-apa perbezaan dengan mana-mana kebanyakan adat masyarakat Melayu yang ada di rantau Tanah Melayu ini, terutamanya di Semenanjung Malaysia. Namun demikian, jika diperhatikan atau dikaji dengan diteliti, maka terserlah perbezaa tersebut dengan adat kebanyakan. Umpamanya terdapat setengah suku kaum, apabila dirujuk hantaran haiwan [lembu atau kerbau mislannya] mungkin ia dirujuk kepada berat atau saiz binatang tersebut ataupun sebaliknya.

Tetapi dalam masyarakat bumiputera Iranun Sabah ini, hantaran bagi haiwan ini dirujuk kepada saiz panjang atau pendek tanduk haiwan tersebut. Umpamanya saiz tanduk haiwan yang berukuran kira-kira Sarangau [sejengkal] kira-kira ukuran metrik 6 inci dan ke bawah adalah dianggap satu ekor. Manakala jika ukuran tanduknya melebihi daripada sarangau [ sejengkal] iaitu kira-kira setengah kaki dan lebih] maka ia boleh dianggap sama seperti bilangannya dua ekor. Dalam erti kata lain, haiwan tadi mungkin sifatnya seekor jadi dua. Atau lebih tepat istilahnya ‘ satu nyawa dua badan’. Begitulah sebaliknya.
Satu lagi persoalan yang mungkin akan ditanya oleh pihak silelaki kepada wakil pihak siperempuan - iaitu kenapakah tidak terus saja di berikan perempuan itu 'wang hantaran tunai' atau lebih tepat istilah morden ' by cash'? ketika berlaku urusan perundingan zantara pihak silelaki dengan pihak siperempuan.
Untuk kes sebegini, anda dinasihatkan supaya tidak mengemukakan soalan sedemikian. Ini kerana soalan itu mungkin menyingung perasaan pihak siperempuan. Atau anda mungkin mendapat jawapan yang memeranjatkan.' Contohnya, pihak siperempuan mungkin akan menjawab '' Perempuan ini orang - bukan barang yang boleh diperdagangkan''. Mana ada manusia yang jual orang dan boleh ditawarkan harganya. Yang boleh dijual dan ditawar harganya hanya benda atau haiwan".
Dari jawapan yang diberikan di atas, maka anda boleh faham bahawa proses tawar menawar dalam majlis peminangan ini bukanlah pada nilai hantaran atau barian siperempuan tetapi sebaliknya pada nilai harga haiwan [lembu atau kerbau] yang dijadikan hantaran tersebut. Ini kerana hanya barangan [benda atau haiwan] sahajalah yang boleh diletakan nilai harga. Sedang harga dan nilai sebenar seorang manusia yang bergelar ' perempuan ' itu hanya Allah' sahaja dapat tahu. Sekian!
wallahuallm!

No comments: