Wednesday, March 11, 2009

KM: PANTUN MEMBANGKITKAN SEMANGAT

Sekitar jam 11.00 pagi tadi, sewaktu ' Majlis Perasmian Pelancaran Seminar Gagasan Bertindak Ekonomi Melayu [GABEM] oleh YAB. Datu Seri Musa Hj. Aman - Ketua Menteri Sabah, YAB. telah meminta izin daripada sidang hadirin untuk beliau memulakan ucapan beliau dengan membaca serangkap Pantun, kerana katanya 'pantun dapat membangkitkan semangat'. Beliau kemudiannya membaca pantun tersebut. Tapi malang saya tak sempat untuk mencatatkan apakah ayat dalam rangkap pantun tersebut, kerana teman yang duduk di sebelah sedang membisikkan sesuatu kepada saya.
Namun apa jua bunyi ayat dalam rangkap pantun tersebut serta bagaimana gaya YAB. Ketua Menteri berpantun, sebenarnya taklah penting sangat kepada saya. Sebaliknya apa yang penting dan menarik perhatian saya ialah kejujuran YAB. memperakui bahawa sesungguhnya puisi tradisional 'pantun' boleh membangkitkan semangat pendengar [peserta persidangan / seminar].
Pengakuan ikhlas YAB. Ketua Menteri ini sesungguh memberikan satu kesan mendalam dalam jiwa kami [orang-orang karyawan / seniman] yang turut hadir dan mengikut pelancaran seminar GABEM Sabah sebut. Ini kerana orang yang bercakap ini bukanlah calang-calang orang. Beliau adalah seorang Ketua Eksekutif Kerajaan [ Ketua Menteri ] juga salah seorang Ahli Majlis Tertinggi Parti UMNO.
Saya menganggap jika orang yang bercakap itu adalah seniman [ apa lagi jika seniman jalanan yang selama ini kurang mendapat tempat dalam mana-mana majlis formal kerajaan-spt. seminar atau persidangan] maka mungkin ungkapan di atas hanyalah dianggap cakap kosong. Lajimnya kata atau ungkapan kebanyakan golongan budayawan, seniman atau karyawan sering dianggap sebagai cakap orang yang suka berilusi atau berkahyal. Tapi bilamana yang bercakap itu adalah 'Seniman Atasan', maka saya fikir cakapnya itu perlu diberikan perhatian oleh pihak-pihak yang berkenaan.
Maka sesungguhnya, apabila YAB. Ketua Menteri sendiri mengakui bahawa 'berpantun boleh membangkitkan semangat' itu dengan sendiri telah memperakui bahawa seni budaya seharusnya mendapat tempat sewajar dalam hati masyarakat atau golongan pemerintah di negara ini.
Mudah-mudahan dengan perakuan ikhlas YAB. ini akan mencetuskan satu revolusi minda masyarakat ke arah membangkitkan semangat mencintai dan memulihara khazanah senibudaya bangsa, khususnya puisi tradisi seperti pantun. Semoga dengan tertanamnya semangat seumpama ini, bangsa kita khususnya Melayu - bumiputera ini akan terpelihara senibudayanya sebagai warisan generasi kita masa kini dan masa akan datang. Seperti kata pepatah ' Bahasa Jiwa bangsa - Budaya nilai bangsa'.
Wallahualam!

No comments: