Friday, March 27, 2009

Doa Untuk ayahanda Pak Shuhaibun

Sebaik sampai di Kota Kinabalu pada petang 24/03/2009, dari melawat ayah saya di kampung kerana uzur, saya menerima SMS drp. Sdr.Abdul Naddin [Tim. YDP.1 IPS] menyatakan bahawa Pak Shuhaibun Yussof [Datuk] berada di hospital QE, KK. kerana sakit.
Lalu saya menjanjikan Sdr. Naddin agar kami melawat beliau esok, memandangkan malam tersebut saya juga telah diundang untuk menghadiri bacaan Yassin dan tahlil doa arwah Sdr. Sani Abdullah [bapa mertua adik saya]. Saya berhasrat untuk melawat Pak Shuhaibun pada keesokan harinya [pada sebelah paginya] sebelum saya berangkat ke Kuala Lumpur. Namun malang hasrat saya tak kesampaian. Belum sempat ke HQE, saya dah diminta oleh ketua rombongan kami untuk ke Terminal 2, KK kerana jadual penerbangan kami ke Kuala Lumpur dah dekat. Lantas saya ke Terminal 2, dan berdoa semoga saya dapat melawat beliau sekembalinya kami dari KL. nanti.
Namun sebaik saya saya di Terminal 2 KK, saya dah diberitahu oleh Sdr. Sulaiman [rakan sekerja di KKBS. dulu] bahawa allahyarham ayahanda Pak Shuhaibun dahpun pergi menemui Illahi untuk selamanya! Saya tunduk dan hanya mampu menitiskan air mata kerana Allah! telah mentakdirkan dia pergi sebelum saya berkesempatan menemuinya.
Saya sesungguhnya mengakui bahawa diri saya adalah anak didik Pak Shuhaibun secara total. Beliaulah yang meminta dan mencadangkan nama saya kepada Prof. Datuk Dr.Ghouse Nasaruddin [Pengarah Pusat Seni, USM ketika itu] untuk saya masuk melanjutkan pengajian saya di Pusat Seni, USM. dalam jurusan Ilmu Kemanusiaan [ Teater dan Sastera]. Beliau secara terus terang meminta agar saya membantu beliau untuk memperjuangkan soal Seni Budaya dan Sastera Negara khususnya yang ada di Sabah ketika itu.
Sebagai kakitangan kementerian, bertugas di Bhg. Kebudayaan, KKBS - suka atau tidak, saya terpaksa akur atas arahan dan kehendak beliau dan pergi ke USM. [1986] dengan meninggalkan pengajian saya dalam jurusan Diploma Pentadbiran Dan Undang-Undang di YSITM [UiTM] di Sembulan, Kota Kinabalu walaupun saya pada ketika itu sebenarnya sudahpun di peringkat semester kedua.
Saya masih ingat, sewaktu beliau menunaikan fardhu haji sekitar 1989? Pak Shuhaibun menghantar surat peribadi beliau kepada saya dari Mekah bertanya khabar tentang perkembangan saya dan sdr. Jamal di universiti ketika itu. Alhamdulillah! dengan keprihatinan beliau yang begitu baik terhadap anak-anak buahnya, maka saya dan Sdr. Jamal telah dapat menyelesaikan pengajian kami di USM. tanpa banyak masalah dan balik ke Sabah dengan jayanya.

Namun malang sekembali kami ke Sabah, saya bersama Sdr.Jamal juga Shuhaimi Magie [kini pensyarah di ASWARA], tidakpun diberi tempat di KKBS atau mana-mana kementerian walaupun sebenarnya kami pada ketika itu adalah pelajar tajaan kementerian dengan memegang biasiswa Kerajaan Negeri. Kami yakin jika Pak Shuhaibun tak berpencen pada ketika itu, kami pasti punya tempat dan tugas di KKBS. negeri.

Hal ini telah menyebabkan kami terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur. Saya dan Suhaimie Maggie ditempatkan untuk bertugas di Kem. Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur kerana tidak punya tempat dan peluang untuk bertugas di negeri sendiri. Sementara sdr. Jamal pula telah bertugas membantu YB. Datuk Railey Jefry di Kementerian Penerangan, sebagai Pegawai Khas Hal Ehwal.
Ketika itu Pak Shuhaibun agak kecewa kerana harapannya untuk kami membantu KKBS. dalam soal memperkembang dan memulihara senibudaya dan sastera [kebudayaan] di negeri Sabah tidak kesampaian. Namun secara peribadi Pak Shuhaibun menyatakan kepada saya sewaktu sempat bertemu beliau dalam seminar sastera di Kota Kinabalu [1994], agar saya tidak berputus asa dan terus berjuang membantu memperkasakan senibudaya bangsa, khususnya yang ada di Sabah ini.
Lantaran itu, sewaktu kursus pidato di Kompleks Sukan Likas, anjuran Pemuda BN Negeri Sabah [1999], beliau cukup marah dan kecewa apabila beliau mengetahui saya telah menyertai politik dan dilantik sebagai jawatankuasa Pemuda BN. Negeri. Saya sempat bertanya kepada beliau mengapakah beliau tidak suka saya menyertai politik?" secara spontan beliau menjawab. "Nanti kamu akan belajar bercakap bohong!". Saya tergamam. Namun belum sempat saya memberikan apa-apa komen, beliau terus berlalu. meninggalkan saya. Tampak di wajahnya beliau begitu kecewa. Tapi saya yakin beliau bukannya kecewa dan tak sukakan orang politik, tetapi beliau agak keciwa dengan keputusan saya menyertai politik.
Secara jujur, saya menyatakan di sini bahawa saya amat terhutang budi terhadap beliau. Beliau seorang nasonalis dan budayawan tulin. Bersama-sama diri beliau jutaan khazanah ilmu budaya dan sastera yang belum sempat kita gali dan terokai. Kita kehilangan seorang tokoh Budayawan Nasional yang besar dan berwibawa. Tiada penggantinya. Saya hanya mampu mensedekahkan beliau Al-Fatihah! serta mendoakan semoga roh ayahanda Pak Shuhaibun dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t serta ditempatkan bersama golongan orang-orang yang salleh. Amin..!!!.

No comments: