Thursday, February 26, 2009

Seni dan seniman mengikut konsep Plato



SENI DAN SENIMAN MENGIKUT KONSEP PLATO - SATU RENUNGAN

Minggu lalu, sahabat lama saya [ seorang ahli politik, yang juga Ketua Bahagian salah sebuah parti berpengaruh di Negara ini ] telah mengundang saya untuk hadir ke rumah beliau - majlis bacaan Yassin dan kenduri tahlil. Tiba-tiba, sebaik sahaja selesai membaca tahli,l rakan karib saya itu juga adalah Ketua Pemuda parti Bahagian berkenaan [ yang juga turut hadir di majlis tersebut dan secara kebetulan kami duduk bersebelahan ] secara spontan bertanya kepada saya secara berbisik ] ‘’apakah makna seni dan juga hiburan’’.

Saya agak terkejut, kerana jarang sekali orang-orang politik bertanya perihal seni dan hiburan ini. Kebiasaannya orang politik akan tanya kepada saya tentang apakah pandangan peribadi saya terhadap keadaan politik semasa Negara dan khususnya di negeri ini.

Lalu secara spontan saya menjawab; ‘’seni itu adalah sesuatu yang halus dan cantik. Sementara hiburan – ialah sesuatu yang menyenangkan dan menghiburkan pendengar dan penonton’’. Tapi saya kata mesti ada syarat iaitu; ‘ seni dan hiburan itu mesti tidak bercanggah dengan hukum agama, kepercayaan dan juga adat resam pendengar atau penontonnya’’. Jika bercanggah, ia bukan lagi ‘seni dan hiburan’ sebaliknya ia dianggap sebagai ‘ seksa dan haburan’. Seksa kerana pelaku seni [seniman, penyair, pelukis, penyanyi atau karyawan ] mungkin akan diherdik dan dihabur dengan kata-kata yang kurang sopan oleh pendengar atau penonton. Jika ini berlaku, maka sudah pasti audien tidak terhibur.

Lantas saya juga bertanya kepada rakan karib saya ini, tentang apakah sebenarnya yang mendorong beliau bertanyakan hal ini kepada saya ‘’. Katanya; ‘’ada majlis forum yang berkaitan dengan hal ini - di mana dia adalah salah seorang ahli panelnya’’. Lalu hati kecil saya berkata, rupanya ada juga orang politik yang ingin tahu perihal ‘seni dan hiburan ‘ini.

Lantaran peristiwa di atas, maka saya telah terdorong untuk menulis semula artikel di atas [ yang pada dasarnya artikel ini telah pernah dimuatkan dalam sebuah akhbar tempatan bahasa Melayu – Edisi Sabah dan Sarawak ] sejak 14 tahun yang lalu bertarikh 6 Rabiulakhir, tahun 1416 muka surat 5. Saya mengharapkan dengan tersiarnya artikel ini nanti, maka ia setidak-tidaknya akan sedikit memberi manafaat kepada pembaca umum - khususnya golongan karyawan, seniman, penyair, pelukis, penyanyi, pelakon, penulis juga termasuk golongan politik atau sesiapa sahaja yang ingin memahami lebih mendalam tentang apakah itu seni dan apakah itu hiburan, setidak-tidaknya untuk renungan peribadi pembaca.

Namun begitu, sebelum kita dapat menghuraikan pendapat Plato terhadap ‘ seni dan seniman’ [ khusus yang bergiat pada zamannya ] maka elok juga kita mengetahuai sedikit sebanyak latar belakang dan sikap beliau terhadap seni secara umum.
Plato, adalah seorang ahli falsafah dan pemikir barat berbangsa Athens. Beliau dilahirkan sekitar tahun 427 sebelum masehi. Beliau adalah rakan karib dan juga sekaligus sebagai anak murid kepada ahli fikir barat yang terkenali iaitu Socrates. Plato juga adalah seorang pengarang dan penulis. Beliau telah menulis tidak kurang 36 buah buku. Antara buku beliau yang tersohor ialah Republik yang membicarakan tentang politik, ekonomi, pentadbiran, sosial, seni juga seniman.

Dalam konteks seni, Plato berpendapat bahawa membuat kasut, membuat selipar [pereka fesyen / fishion designer] mengubati orang sakit [ teater tradisional-seperti Manora, Makyong dan Main Puteri – Di Semenanjung Malaysia serta Menggalai dan Ajung Berlabuh – di Sabah], mengarang buku [ pengarang /penulis /karyawan], membaca puisi [seniman /artis /pelakon], membuat kereta kuda [kraftangan] atau memahat arca figura [pelukis / pembuat arca ], membina rumah [arkiteks] adalah dianggap sejumlah pekerja dan hasil-hasil kerja yang dapat ditakrif sebagai seni.

Pentakrifan makna seni menurut Plato itu agak menyukarkan kita dari satu segi. Namun dari satu segi yang lain pula mungkin akan menyenangkan kita. Kita katakan sukar sebab apakah taraf setiap satu bidang itu sama sahaja atau adakah setiap satu bidang itu mempunyai rangka hirakinya yang tersendiri, yakni yang berperingkat-peringkat dari satu tahap rendah ke tahap yang lebih tinggi. Berdasarkan hujah-hujah Plato yang terkandung dalam bukunya Republik ini, kita dapat membuat beberapa rumusan umum seperti berikut;

Pertama; Masyarakat yang dibayangi oleh Plato mesti distrukturkan mengikut kelas. Oleh yang demikian mungkin hiraki seni juga turut distrukturkan berperingkat-peringkat berdasarkan guna atau faedahnya.

Kedua; Plato sebenarnya tidak senang dengan kaum seniman. Defenisinya terhadap orang-orang ini mempunyai sindiran-sindiran yang tersirat; umpamanya dia mengatakan bahawa seseorang penyair itu;

‘’…a poet is a light winged thing and holy, never able to compos until he has become inspired, and is beside him self and reason is no longer in him’’

Dari definisi itu, tiga perkara wujud;- 1. Seniman itu mestilah bersih segi fizikal dan mental. 2. Seniman memerlukan inspirasi atau sumber ilham. 3. Seniman itu juga seolah-olah hilang akal.

Namun Plato menegaskan bahawa ‘seni itu adalah ilmu’. Oleh itu, sesuatu bidang kerja seni semestinya berdasarkan ilmu. Katanya; ‘’ Seni itu sejenis ilmu atau jenis ilmu yang lain dan setiap satunya aku berikan nama’.

Mengikut Plato juga, seorang arkiteks boleh menjadi seorang doktor, sekiranya dia mempunyai ilmu dalam bidang binaan juga perubatan. Untuk itu bagi menilai sama ada sesuatu karya seni itu baik atau tidak, maka seseorang penilai seni mesti tahu apakah yang baik dan apakah yang tidak baik.
Oleh itu seseorang pengkritik tidak hanya tahu mengkritik yang baik tetapi tidak arif tentang apakah yang tidak baik. Jadi sama ada baik atau tidak baik, kedua-duanya memerlukan ilmu yang intim. Jelas apa yang ditegaskan oleh Plato ialah bahawa pendapat terutamanya yang berunsur judge mental mesti berasaskan ilmu dan pengalaman.

Plato berpendapat, bahawa salah satu defenisi seni ialah seni itu harus bersifat imatasi – iaitu peniruan. Peniruan ini dilakukan oleh seniman dengan cara sesempurna yang mungkin, yakni mengikut kadar bandingan objek asal secara terperinci. Setiap benda yang ingin ditiru oleh seniman itu mesti ditiru menggunakan warna dan bentuk yang setepatnya dan sepadan mungkin.

Namun demikian Plato dengan sendirinya melakukan sesuatu kontradaksi kerana dia juga berpendapat bahawa seniman jangan terlalu dekat atau terlalu terpikat kepada objek asal yang ingin dijadikannya imej. Bagi Plato yang penting ialah imej yang dihasilkan oleh seniman itu mesti kelihatan cantik.

Apakah keindahan atau beauty menurut Plato? Plato berpendapat bahawa beauty ialah ‘’ yang baik, yang berpatutan, yang bersesuaian, yang seimbang, yang menyenangkan dan yang cantik’’. ‘’ Beauty, the good, beneficial, the reasonable, the appropriate, the balance, the pleasant the handsome’’.
Maka dari istilah-istilah ini jelas, Plato memikirkan bukan tentang seni yang khusus, akan tetapi tentang tabiat dan kelakuan manusia. Dia mengajak kita menggunakan deskripsi seni. Namun pada masa yang sama juga mengajak kita memberi kata lawan kepada senarai-senarainya tadi. Dengan demikian maka dapatlah kita bayangkan ciri-ciri kesenian yang cantik yang diinginkan oleh Plato wujud di dalam Republikan yang ideal itu. Bila istilah-istilah ini dikenakan [dipadankan] kepada karya-karya seni, maka Repbulik yang diidam-idamkan oleh Plato itu, pasti akan menghasilkan karya-karya seni yang sama dengan idealnya.
Persoalannya, adakah Plato percaya kepada seniman! Sebenarnya sikap Plato terhadap seniman adalah berbelah bagi. Kepercayaannya kepada seniman mempunyai syarat; iaitu bahawa seniman mesti bergantung kepada akal dan bukan kepada hati [perasaan].
Untuk menentukan samada hasil karya itu terbit dari sikap peniruaan [akal] atau imaginasi atau emosi [perasaan], maka mesti ada pihak yang menapis karya-karya seniman tersebut, terutama oleh pihak berkuasa. ‘ Sensorship’ atau penapisan ini dilakukan demi menentukan bahawa hanya karya-karya yang bersifat seperti yang disebutkannya tadi lulus penapisan itu.
Karya-karya yang baik dan yang benar-benar harmoni boleh tinggal di negeri Repbulikan idamannya. Namun orang tidak baik, suka bercakap bohong, mengganggu keharmonian atau kelas hendaklah dibasmi [dipinggirkan] atau dibuang keperbatasan. Malahan jika perlu, dibuang negeri sama sekali. Begitu juga dengan seni. Tindakan yang dianggap keterlaluan ini adalah wajar bagi plato demi menjaga keharmonian dan keselamatan negara.
Plato menginginkan para penyair dan para seniman menjadi ‘ Pendidik Negara’ dan bukan Pengkritik pemerintah. Oleh itu para seniman di zaman Plato sering tidak menggalakkan terbitnya elemen-elemen yang rendah [tidak bermoral dan beretika] di kalangan para penduduk sehingga terbitnya berjenis-jenis nafsu [ mesej dalam karya] yang tidak puas yang boleh menganggu gugat keharmonian elemen-elemen [dalaman] yang rasional yang ada di dalam diri manusia.

Plato juga menegaskan para pelukis dan para seniman dan [ tentu juga para penulis yang lain] yang amat suka meniru khayalan orang lain sehingga penonton atau pembaca yang menonton dan pembaca karya mereka terpisah daripada realiti. Hasil karya seni seperti itu akan mencabar keupayaan [minda ] audien mengenal mana-mana yang besar [karya terbaik ] serta mana-mana karya yang kecil [kurang bermutu]. Audien juga sukar mengenal mana-mana yang baik dan mana-mana yang tidak baik. Oleh itu Plato menganggap seniman adalah mahluk yang mesti dikawal kelakuannya dan ditapis karyanya.

Jadi apa yang tersirat di dalam konsep dan pemikiran Plato ialah bukan semua penyair, pelukis atau seniman mesti dibasmi atau dibuang negeri. Penyair yang mengarang puisi memuji para dewata [puisi berunsur ketuhanan ] dibenarkan hidup atau tinggal di dalam negeri Repbulik idamannya. Sementara itu seniman yang mengarang lirik atau epik dari jenis-jenis karangan puisi yang boleh menyebabkan pendengar atau audien merasa nikmat [khayal/ghairah] atau derita [kecewa/merana] tidak dibenarkan tinggal di Kota Repbulikan kerana mereka akan berkelakuan seperti orang yang dirasuk, dan orang-orang ini seperti lupa tentang undang-undang dan hilang akal. Sebaliknya puisi yang imitative yang membina ahlak dan menakjubkan akal, akan terus digalakkan di dalam Republikan idamannya.

Maka oleh itu, bagi Plato, seni mesti berguna bukan sahaja kepada rakyat dan penghidupan manusia tetapi juga kepada pihak pemerintah.

Namun pada saya, para pengiat seni atau mereka yang digelar seniman juga penonton atau pendengar [audien] – seni itu seharusnya bukan sahaja perlu menjadi suatu alat hiburan atau seniman itu menjadi penghibur tetapi juga seni harus menjadi wadah untuk mendidik masyarakat agar masyarakat itu bukan sahaja dapat mencintai kreativiti, kecantikan, kehalusan, keharmonian, kedamaian, kesejehteraan dunia – tetapi juga seharusnya untuk kedamaian dan kesejehteraan yang abadi.

Pendekkata – ‘seni’ seharusnya dapat membawa kita [seniman dan audien] mendekati dan mencintai Tuhan kerana sesungguhnya Tuhan suka kepada sehalusan dan kecantikan.

Wallahuallam

2 comments:

Indah Hairani said...

Terima kasih,
Artikel tuan telah membantu saya memahami beberapa perkara tentang seni.

Indah Hairani said...

Assalamualaikum,
terima kasih tuan,
artikel yang membantu saya mencari jawapan kepada beberapa persoalan.