Friday, March 27, 2009

Doa Untuk ayahanda Pak Shuhaibun

Sebaik sampai di Kota Kinabalu pada petang 24/03/2009, dari melawat ayah saya di kampung kerana uzur, saya menerima SMS drp. Sdr.Abdul Naddin [Tim. YDP.1 IPS] menyatakan bahawa Pak Shuhaibun Yussof [Datuk] berada di hospital QE, KK. kerana sakit.
Lalu saya menjanjikan Sdr. Naddin agar kami melawat beliau esok, memandangkan malam tersebut saya juga telah diundang untuk menghadiri bacaan Yassin dan tahlil doa arwah Sdr. Sani Abdullah [bapa mertua adik saya]. Saya berhasrat untuk melawat Pak Shuhaibun pada keesokan harinya [pada sebelah paginya] sebelum saya berangkat ke Kuala Lumpur. Namun malang hasrat saya tak kesampaian. Belum sempat ke HQE, saya dah diminta oleh ketua rombongan kami untuk ke Terminal 2, KK kerana jadual penerbangan kami ke Kuala Lumpur dah dekat. Lantas saya ke Terminal 2, dan berdoa semoga saya dapat melawat beliau sekembalinya kami dari KL. nanti.
Namun sebaik saya saya di Terminal 2 KK, saya dah diberitahu oleh Sdr. Sulaiman [rakan sekerja di KKBS. dulu] bahawa allahyarham ayahanda Pak Shuhaibun dahpun pergi menemui Illahi untuk selamanya! Saya tunduk dan hanya mampu menitiskan air mata kerana Allah! telah mentakdirkan dia pergi sebelum saya berkesempatan menemuinya.
Saya sesungguhnya mengakui bahawa diri saya adalah anak didik Pak Shuhaibun secara total. Beliaulah yang meminta dan mencadangkan nama saya kepada Prof. Datuk Dr.Ghouse Nasaruddin [Pengarah Pusat Seni, USM ketika itu] untuk saya masuk melanjutkan pengajian saya di Pusat Seni, USM. dalam jurusan Ilmu Kemanusiaan [ Teater dan Sastera]. Beliau secara terus terang meminta agar saya membantu beliau untuk memperjuangkan soal Seni Budaya dan Sastera Negara khususnya yang ada di Sabah ketika itu.
Sebagai kakitangan kementerian, bertugas di Bhg. Kebudayaan, KKBS - suka atau tidak, saya terpaksa akur atas arahan dan kehendak beliau dan pergi ke USM. [1986] dengan meninggalkan pengajian saya dalam jurusan Diploma Pentadbiran Dan Undang-Undang di YSITM [UiTM] di Sembulan, Kota Kinabalu walaupun saya pada ketika itu sebenarnya sudahpun di peringkat semester kedua.
Saya masih ingat, sewaktu beliau menunaikan fardhu haji sekitar 1989? Pak Shuhaibun menghantar surat peribadi beliau kepada saya dari Mekah bertanya khabar tentang perkembangan saya dan sdr. Jamal di universiti ketika itu. Alhamdulillah! dengan keprihatinan beliau yang begitu baik terhadap anak-anak buahnya, maka saya dan Sdr. Jamal telah dapat menyelesaikan pengajian kami di USM. tanpa banyak masalah dan balik ke Sabah dengan jayanya.

Namun malang sekembali kami ke Sabah, saya bersama Sdr.Jamal juga Shuhaimi Magie [kini pensyarah di ASWARA], tidakpun diberi tempat di KKBS atau mana-mana kementerian walaupun sebenarnya kami pada ketika itu adalah pelajar tajaan kementerian dengan memegang biasiswa Kerajaan Negeri. Kami yakin jika Pak Shuhaibun tak berpencen pada ketika itu, kami pasti punya tempat dan tugas di KKBS. negeri.

Hal ini telah menyebabkan kami terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur. Saya dan Suhaimie Maggie ditempatkan untuk bertugas di Kem. Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur kerana tidak punya tempat dan peluang untuk bertugas di negeri sendiri. Sementara sdr. Jamal pula telah bertugas membantu YB. Datuk Railey Jefry di Kementerian Penerangan, sebagai Pegawai Khas Hal Ehwal.
Ketika itu Pak Shuhaibun agak kecewa kerana harapannya untuk kami membantu KKBS. dalam soal memperkembang dan memulihara senibudaya dan sastera [kebudayaan] di negeri Sabah tidak kesampaian. Namun secara peribadi Pak Shuhaibun menyatakan kepada saya sewaktu sempat bertemu beliau dalam seminar sastera di Kota Kinabalu [1994], agar saya tidak berputus asa dan terus berjuang membantu memperkasakan senibudaya bangsa, khususnya yang ada di Sabah ini.
Lantaran itu, sewaktu kursus pidato di Kompleks Sukan Likas, anjuran Pemuda BN Negeri Sabah [1999], beliau cukup marah dan kecewa apabila beliau mengetahui saya telah menyertai politik dan dilantik sebagai jawatankuasa Pemuda BN. Negeri. Saya sempat bertanya kepada beliau mengapakah beliau tidak suka saya menyertai politik?" secara spontan beliau menjawab. "Nanti kamu akan belajar bercakap bohong!". Saya tergamam. Namun belum sempat saya memberikan apa-apa komen, beliau terus berlalu. meninggalkan saya. Tampak di wajahnya beliau begitu kecewa. Tapi saya yakin beliau bukannya kecewa dan tak sukakan orang politik, tetapi beliau agak keciwa dengan keputusan saya menyertai politik.
Secara jujur, saya menyatakan di sini bahawa saya amat terhutang budi terhadap beliau. Beliau seorang nasonalis dan budayawan tulin. Bersama-sama diri beliau jutaan khazanah ilmu budaya dan sastera yang belum sempat kita gali dan terokai. Kita kehilangan seorang tokoh Budayawan Nasional yang besar dan berwibawa. Tiada penggantinya. Saya hanya mampu mensedekahkan beliau Al-Fatihah! serta mendoakan semoga roh ayahanda Pak Shuhaibun dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t serta ditempatkan bersama golongan orang-orang yang salleh. Amin..!!!.

Saturday, March 21, 2009

Pertemuan Membangkitkan Harapan

Saya sempat melayari laman blog sdr.Abdul Naddin, Wartawan Senior Utusan Borneo juga merupakan Timbalan YDP.1 Ikatan Penulis Sabah [IPS]. Terima kasihlah kepada Sdr.Abdul Naddin kerana memaparkan begitu terperinci latar belakang saya. Namun bukan kerana pemaparan itu yang membuat saya 'respond' terhadap pertemuan tersebut. tetapi isu yang kami perbincangkan.
Ada dua perkara yang membangkit nostalgia saya dalam artikel tersebut. Pertama menyingkap pertemuan singkat saya dengan Prof. Madya Dr.Lim di DBP. Sabah baru-baru ini. Seingatan saya, kali pertama saya bertemu dengan Prof. Madya Dr.Lim ialah sekitar tahun 1989/1990 ketika beliau diundang membaca puisi di Universiti Sains Malaysia [USM] anjuran Kelab Sastera USM di mana ketika itu Sdr.Jamal Sulai menjadi YDPnya. Turut sama juga membaca puisi dalam majlis baca puisi tersebut ialah Sdr. Ahmad Termimi Sarigar dan Sdr. Zainal [Zaibo] pelakon popular Drama TV, Sdr.Yalal Chin [mantan Pegawai Kebudayaan USM], Sdr. Zulkiflie Ismail [ pelakon utama drama bersiri Gerak Khas] Sdr.Hilmi [kini Pensyarah Teater, di USM], Sdri. Rosminah Tahir [Dekan Fakuliti-Seni Teater] di Kolej ASWARA dan banyak lagi teman-teman kami yang sama-sama menjadi pelajar di Fakuliti Seni, Pusat Pengajian Kemanusiaan USM ketika itu.
Keduanya; perkara yang menarik perhatian dan membangkitkan nostalgia saya terhadap Prof. Madya ini ialah beliau bukan sahaja seorang Pensyarah Kesusteraan Melayu di UPM, tetapi juga jiwa ke Melayuan yang tumbuh dan tersemai di sanubari beliau sejak sekian lama. Saya sebenarnya saya mengkagumi beliu kerana sikap lemah lembutnya yang pada pengamatan saya lebih menjiwai budaya orang Melayu berbanding sebahagian orang Melayu itu sendiri. Ketika mula mengenali beliau, hati kecil saya bertanya ' bolehkah Sdr.Lim ini membaca puisi / sajak Melayu?. Namun ternyata anggapan awal saya jauh meleset. Malahan pengucapaan puisi beliau lebih baik berbanding yang lain.
Dalam kesempatan itu, kami berbicara bukan sahaja tentang saranan beliau agar Speaker Dewan Rakyat [Tan Sri Pandikara Amin Hj. Mulia] membaca puisi atau pantun yang boleh menyenangkan jiwa YB. Ahli-Ahli Parlimen kita, tetapi juga kami menyentuh perihal sastera dan budaya di negara Malaysia kini. Ada satu keinginan beliau yang belum tercapai - iaitu ingin mengadakan ' Majlis Pengucapan Puisi Antara Kaum di Malaysia'.
Saya juga terus terang menyatakan perhal kebimbangan saya terhadap masyarakat Malaysia di Sabah yang pada saya kini hampir telah kehilangan jatidirinya. Kenapa tidak!!!. Kuda kami yang berlari dengan 'Seriaunya' [loceng dileher] telah hilang dan terlepas di padang luas, hingga tidak lagi kelihatan bayangnya samada di padang, jalanan atau di Muzium Negeri?. Begitu juga 'Dempas Diakatan' [tikar bersulam] tidak lagi terbentang dihamparan di pelamin dan bilik persalinan pengantin pada majlis perkahwinan?. Begitu juga hal perhisan. Ke mana perginya ' Lemba dan Sarimpak'. serta ke mana perginya muzik ' Kulintangan,Betitik dan Parinang?. Atau ke mana menghilangnya ' Runsai dan Isun-Isun'. Jauh sekali kita menemui ' Kalang Sama, Bayuk dan Darengan.!.
Kesemua ini saya luahkan kepada Prof.Madya Dr.Lim, selaku Ahli Senat di ASWARA, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Saya membangkitkan ini semua dengan harapan senibudaya warisan bangsa Malaysia di Sabah ini dapat diterjemakan dalam program pembelajaran di ASWARA nanti.
Kalau tidakpun, harapan besar kami ialah terbinanya MINI ISTANA BUDAYA SABAH [Kompleks Seni Budaya Sabah] itu nanti [seperti yang diumumkan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan Malaysia -YB. Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ], setidak-tidak akan melegahkan rasa kebimbangan kami di Sabah ini, tentang ke lansungan seni budaya warisan bangsa kami di Sabah ini.
Semoga pertemuan singkat itu dan pemaparan ini akan dapat membangkitkan harapan kepada semua kami pengiat dan pencinta senibudaya bangsa, khasnya di Sabah ini. Sekian!

Adat Langkah Bendul- Perlukah Dikekalkan?

Beberapa hari yang lalu saya diundang untuk bersama-sama menyertai rombongan pihak lelaki dari Kg.Likas, Kota Kinabalu ke Penampang bagi majlis peminangan anak saudara sebelah isteri saya. Pada mulanya saya agak keberatan untuk hadir kerana pada masa yang sama saya mempunyai temu janji awal dengan seorang teman dari Kota Belud di bandar Kota Kinabalu.

Tiba-tiba teman itu menalipon saya mengatakan yang beliau tidak dapat datang ke Kota Kinabalu kerana secara kebetulan juga mempunyai urusan yang sama di kampung beliau, di Kota Belud. Maka dengan situasi yang demikian, maka bertukarlah acara kami menjadi pengiring tidak rasmi kepada rombongan pihak silelaki di kampung masing-masing.

Dalam perjalanan ke rumah si perempuan di daerah Penampang, ayah kepada silelaki [yang kebetulan juga adalah abang ipar saya ] yang bersama-sama dengan saya di dalam kereta pacuan empat roda itu bercerita tentang betapa payahnya beliau melakukan perisikan [bertanya dan menyiasat soal adat istiadat siperempuan ] sebelum majlis peminangan dijalankan pada hari tersebut. Lalu saya bertanya kepada beliau ‘apa yang rumitnya?’.

Dia kata banyak perkara. ''Selain siperempuan ini bukan seagama dengan pihak silelaki [lelaki beragama islam] dan mendapat tentangan daripada keluarganya juga perihal hantaran [barian] yang bakal diminta oleh pihak siperempuan. Pada saya hantaran yang diminta agak keterlaluan [mahal] hingga mencecah RM:30,000.00''.
Saya ternganga mendengar kisah benar beliau ini. Lantas saya bertanya – ‘’apa pangkat atau kelulusan siperempuan itu sehingga meminta hantaran yang begitu tinggi dan agak keterlaluan itu ?’’ [Biasanya itulah yang ditanya kalau hantaran yang diminta siperempuan itu terlalu mahal]. Dia kata; ‘’ kerani biasa saja. Tapi adalah sikit kelulusan -diploma. Tapi apa boleh buat, suka sama suka’’. Lantas hati kecil saya berkata '' ini kerja gila'.
Dengan suasana dijalanraya yang agak sibuk dan sesak [traffic jam, maka kami mempunyai masa untuk berbual panjang. Ini kerana jangka waktu masa yang diambil untuk sampai ke rumah siperempuan ini mungkin sekitar setengah jam atau lebih. Maka dalam kesempatan ini saya turut bertanya beliau -selain hantaran tiga puluh ribu ringgit, ada lagikah adat-adat yang pihak siperempuan tu minta?.
Dia kata "Ada. Adat Langkah Bendul’’. Lalu ayah silelaki ini bertanya kepada saya sekali lagi – ‘’wajarkah adat ini dikekalkan lagi?
Namun belum sempat saya menjawab persoalan tersebut, kenderaan kami dahpun sampai. Dan kami terpaksa turun kerana pihak siperempuan sudahpun mepersilakan kami masuk ke dalam rumah bagi menyempurnakan majlis tersebut.

Wednesday, March 11, 2009

KM: PANTUN MEMBANGKITKAN SEMANGAT

Sekitar jam 11.00 pagi tadi, sewaktu ' Majlis Perasmian Pelancaran Seminar Gagasan Bertindak Ekonomi Melayu [GABEM] oleh YAB. Datu Seri Musa Hj. Aman - Ketua Menteri Sabah, YAB. telah meminta izin daripada sidang hadirin untuk beliau memulakan ucapan beliau dengan membaca serangkap Pantun, kerana katanya 'pantun dapat membangkitkan semangat'. Beliau kemudiannya membaca pantun tersebut. Tapi malang saya tak sempat untuk mencatatkan apakah ayat dalam rangkap pantun tersebut, kerana teman yang duduk di sebelah sedang membisikkan sesuatu kepada saya.
Namun apa jua bunyi ayat dalam rangkap pantun tersebut serta bagaimana gaya YAB. Ketua Menteri berpantun, sebenarnya taklah penting sangat kepada saya. Sebaliknya apa yang penting dan menarik perhatian saya ialah kejujuran YAB. memperakui bahawa sesungguhnya puisi tradisional 'pantun' boleh membangkitkan semangat pendengar [peserta persidangan / seminar].
Pengakuan ikhlas YAB. Ketua Menteri ini sesungguh memberikan satu kesan mendalam dalam jiwa kami [orang-orang karyawan / seniman] yang turut hadir dan mengikut pelancaran seminar GABEM Sabah sebut. Ini kerana orang yang bercakap ini bukanlah calang-calang orang. Beliau adalah seorang Ketua Eksekutif Kerajaan [ Ketua Menteri ] juga salah seorang Ahli Majlis Tertinggi Parti UMNO.
Saya menganggap jika orang yang bercakap itu adalah seniman [ apa lagi jika seniman jalanan yang selama ini kurang mendapat tempat dalam mana-mana majlis formal kerajaan-spt. seminar atau persidangan] maka mungkin ungkapan di atas hanyalah dianggap cakap kosong. Lajimnya kata atau ungkapan kebanyakan golongan budayawan, seniman atau karyawan sering dianggap sebagai cakap orang yang suka berilusi atau berkahyal. Tapi bilamana yang bercakap itu adalah 'Seniman Atasan', maka saya fikir cakapnya itu perlu diberikan perhatian oleh pihak-pihak yang berkenaan.
Maka sesungguhnya, apabila YAB. Ketua Menteri sendiri mengakui bahawa 'berpantun boleh membangkitkan semangat' itu dengan sendiri telah memperakui bahawa seni budaya seharusnya mendapat tempat sewajar dalam hati masyarakat atau golongan pemerintah di negara ini.
Mudah-mudahan dengan perakuan ikhlas YAB. ini akan mencetuskan satu revolusi minda masyarakat ke arah membangkitkan semangat mencintai dan memulihara khazanah senibudaya bangsa, khususnya puisi tradisi seperti pantun. Semoga dengan tertanamnya semangat seumpama ini, bangsa kita khususnya Melayu - bumiputera ini akan terpelihara senibudayanya sebagai warisan generasi kita masa kini dan masa akan datang. Seperti kata pepatah ' Bahasa Jiwa bangsa - Budaya nilai bangsa'.
Wallahualam!

Sunday, March 1, 2009

KONSEP DAN FALSAFAH ' ADAT PIKULAN' DALAM PERKAHWINAN MASYARAKAT IRANUN BUMIPUTERA SABAH


Dalam artikel petama, saya telahpun memaparkan secara raingkas bagaimana ‘ konsep adat pikulan’ dalam perkahwinan masyarakat Iranun bumputera Sabah ini dan apakah pula ciri-cirinya. Dalam siri kedua ini, saya pula cuba untuk menjelaskan apakah falsafah di sebalik adat pikulan ini.

ADAT 10 PIKUL DAN 15 PIKUL.

Namun sebelum saya dapat menghuraikan tentang konsep dan falsafah di sebalik ‘ Adat Pikulan' inI, maka izinkan saya terlebih dahulu untuk menjelaskan tentang dua lagi peringkat adat yang belum sempat saya huraikan dalam siri pertama yang lalu. Penjelasan kedua-dua peringkat adat tersebut adalah penting bagi memudahkan pembaca memahami secara lebih mendalam keseluruhan aspeks adat tersebut. Kedua-dua adat yang saya maksudkan ialah ‘ Adat 10 Pikul dan juga ‘Adat 15 Pikul’.

Sebagaimana adat 7 pikul atau 8 pikul [yang merujuk kepada atau milik masyarakat kebanyakan], maka adat 10 pikul pula adalah merujuk kepada adat bagi golongan bangsawan keturunan Bai. Bai adalah anak-anak atau cucu-cicit atau generasi kepada golongan bangsawan keturunan sebelah perempuan. Dalam konteks sejarah silam atau sejarah kesultanan Melayu, gelaran Bai dalam masyarakat bumiputera Iranun ini, barangkali ia bolehlah dianggap sama seperti keturunan adat puteri di raja atau sultan. Dalam ertikata lain, anak-anak kepada puteri diraja [bai] yang berkahwin dan suaminya daripada golongan orang kebanyakan [rakyat biasa], maka apabila mempunyai anak atau cucu / cicit perempuan maka berhak untuk menggunakan adat 10 pikul ini.

Sementara adat 15 pikul adalah dianggap adat tertinggi dalam komuniti ini. Adat ini adalah diberi dan menjadi hak milik bagi kerabat Datu-Datu, Sultan atau Ketua Pemerintah. Dalam konteks masa kini, maksud pemerintah ia adalah sama statusnya dengan kedudukan Ketua atau Pembesar Daerah atau negeri seperti Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri atau Gabenor dan juga para Menteri atau setaraf dengannya.
Pemakaian kedua-dua peringkat adat ini dianggap sebagai mempunyai ststusnya yang tersendiri. Meskipun tiada larangan khusus atau hukuman khas tentang penggunaan adat ini, namun seseorang yang menggunakan-pakai adat yang bukan pada tempat atau tarafnya, maka ia dianggap sebagai mengada-ada. Atau lebih tepat cuba mengangkat mertabat keturunan sendiri.

Walaupun kedua-dua sistem adat ini hampir sama dengan 'adat 7 pikul atau adat 8 pikul', namun terdapat sedikit perbezaannya dari segi jumlah hantaran barian [pemberian-hadiah] serta jumlah lembu /kerbau yang patut diminta oleh pihak siperempuan. Jika adat tujuh atau lapan, si lelaki perlu memberikan wanita [bakal iseteri atau keluarga siperempuan] sebanyak 5 ekor lembu atau kerbau dan wang hadiah wang tunai [sebenarnya adalah maskahwin] sebanyak seratus empat puluh [RM:140.00] tetapi sebaliknya bagi adat 10 pikul, lembu atau kerbau yang patut diberikan kepada pihak siperempuan adalah sebanyak 8 ekor berserta dengan wang tunai hadiah sebanyak dua ratus ringgit. [RM:200.00] dan bagi adat 15 pikul, jumlah lembu atau kerbau adalah sebanyak 10 ekor dan wang tunai hadiah sebanyak ratus [Rm:300.00 tunai].

Persoalannya, bagaimana kalau si lelaki tidak mempunyai lembu atau kerbau hidup?. jawapannya, pihak silelaki perlu memohon 'perundingan, meminta keizinan agar haiwan lembu atau kerbau tadi digantikan dengan wang ringgit.

Apakah sebenarnya yang menarik bagi ketiga-tiga peringkat sistem adat pikulannya ini?. Jika dilihat sekali pandang ia tidak mempunyai apa-apa perbezaan dengan mana-mana kebanyakan adat masyarakat Melayu yang ada di rantau Tanah Melayu ini, terutamanya di Semenanjung Malaysia. Namun demikian, jika diperhatikan atau dikaji dengan diteliti, maka terserlah perbezaa tersebut dengan adat kebanyakan. Umpamanya terdapat setengah suku kaum, apabila dirujuk hantaran haiwan [lembu atau kerbau mislannya] mungkin ia dirujuk kepada berat atau saiz binatang tersebut ataupun sebaliknya.

Tetapi dalam masyarakat bumiputera Iranun Sabah ini, hantaran bagi haiwan ini dirujuk kepada saiz panjang atau pendek tanduk haiwan tersebut. Umpamanya saiz tanduk haiwan yang berukuran kira-kira Sarangau [sejengkal] kira-kira ukuran metrik 6 inci dan ke bawah adalah dianggap satu ekor. Manakala jika ukuran tanduknya melebihi daripada sarangau [ sejengkal] iaitu kira-kira setengah kaki dan lebih] maka ia boleh dianggap sama seperti bilangannya dua ekor. Dalam erti kata lain, haiwan tadi mungkin sifatnya seekor jadi dua. Atau lebih tepat istilahnya ‘ satu nyawa dua badan’. Begitulah sebaliknya.
Satu lagi persoalan yang mungkin akan ditanya oleh pihak silelaki kepada wakil pihak siperempuan - iaitu kenapakah tidak terus saja di berikan perempuan itu 'wang hantaran tunai' atau lebih tepat istilah morden ' by cash'? ketika berlaku urusan perundingan zantara pihak silelaki dengan pihak siperempuan.
Untuk kes sebegini, anda dinasihatkan supaya tidak mengemukakan soalan sedemikian. Ini kerana soalan itu mungkin menyingung perasaan pihak siperempuan. Atau anda mungkin mendapat jawapan yang memeranjatkan.' Contohnya, pihak siperempuan mungkin akan menjawab '' Perempuan ini orang - bukan barang yang boleh diperdagangkan''. Mana ada manusia yang jual orang dan boleh ditawarkan harganya. Yang boleh dijual dan ditawar harganya hanya benda atau haiwan".
Dari jawapan yang diberikan di atas, maka anda boleh faham bahawa proses tawar menawar dalam majlis peminangan ini bukanlah pada nilai hantaran atau barian siperempuan tetapi sebaliknya pada nilai harga haiwan [lembu atau kerbau] yang dijadikan hantaran tersebut. Ini kerana hanya barangan [benda atau haiwan] sahajalah yang boleh diletakan nilai harga. Sedang harga dan nilai sebenar seorang manusia yang bergelar ' perempuan ' itu hanya Allah' sahaja dapat tahu. Sekian!
wallahuallm!