Saturday, April 26, 2008

Ucapan Semasa Perasmian Mesyuarat Agung IPS Ke 17 - pada 19 April 2008 jam 9 pg

Bismillah.......!!! Assalamualaikum wbt..... dan salam sejahtera!

Buat pertama kalinya dalam sejarah hidup saya [ iaitu selepas bersara dari perkhidmatan kerajaan 12 tahun yang lalu ]- saya telah diberikan penghormatan untuk diundang bagi merasmikan majlis seumpama ini. Ini merupakan satu penghormatan besar bagi diri saya yang kerdil dan kurang berpengalaman ini. Namun atas dorongan dan semangat ingin berjuang bersama-sama saudara dan saudari dalam memertabatkan Sastera Dan Budaya Tanah air khususnya di Sabah ini, maka saya terima undangan ini dengan penuh kesedaran dan rendah diri.

Di atas undangan yang cukup bermakna ini - maka izinkan saya untuk menyampaikan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak jawatankuasa penganjur majlis, khususnya Sdr. Shukor Hj. Usin [Ketua Satu IPS] kerana sudi menjemput saya hadir untuk merasmikan majlis mesyuarat Agung Tahunan IPS Kali yang Ke-17 ini. Bak kata pepatah: Besar Tapak Tangan – Nyiru saya tadahkan.

Ikatan Penulis Sabah [IPS] adalah sebuah persatuan yang saya kira cukup unggul di Negeri Sabah ini. Sejarah kelahiran dan pejalanan IPS selama 17 tahun – saya anggap bagai gadis sunti si Manis 17 yang pada kejelitaannya itu boleh memikat siteruna untuk meminang dan menikahinya. Tapi malang bagi saya – [siteruna] yang berhasrat meminang si gadis sunti IPS ini tidak kesampaian – kerana statussaya sebagai ayah angkat tidak membolehkan saya menikahinya.

Sebagai pendatang baru dalam keluarga IPS - iaitu ayah angkat [AHLI KEHORMAT] yang tampak peranannya amat terbatas kepada hal-hal ke protokolan [ sebagai tetamu undangan, penceramah dan perasmi ] tentu sekali saya jauh ketinggalan di belakang – dalam memahami dan mengetahui perjalanan aktiviti IPS ini keseluruhannya.

Kadang kala saya hanya sempat melihat IPS sekadar dari ruang jendela hati. Tampak pandangan saya bagaikan menikmati sketsa perjalanan sebuah keretapi laju [komuter]–yang pantas dan laju. Tahu-tahu bila saya sedar dari lamunan, keretapi yang saya tumpangi sudahpun kita sampai ke destinasinya – Iaitu ” Mesyuarat Agung Tahunan IPS seperti mana yang kita adakan hari ini.

Saya yakin Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-17,tahun 2008 ini - mungkin bakal menurunkan penumpang lama [AJK.lama] dan sebentar nanti naik pula penumpang baru [AJK.Baru] melalui pemilihan AJK.nya yang bakal diadakan sebentar nanti.

Namun saya kira apapun bakal berlaku sebentar nanti, IPS sebagai sebuah badan NGO’S atau badan Sastera dan Budaya yang mantap di negeri ini, ia mempunyai pengalaman yang cukup matang dalam melayari batera perjuangannya – terutama sekali dalam kontek Sastera Dan Budaya Tanah Air Sabah.

Apapun tujuan mesyuarat perwakilan tahunan seperti majlis yang kita adakan pada hari ini – tidak lain dan tidak bukan ialah untuk membolehkan kita duduk bersama, berbincang dan mengimbau kembali liku-liku perjuangan kita sejak mesyuarat agung yang sudah-sudah.

Dengan mengimbau kembali perjalanan masa lampau, maka kita akan dapat mengetahui sejauh mana kita telah berada. Dengan demikian, kita juga dapat menilai dan memahami akan kekuatan dan kelemahan kita. Kita juga dapat mengenal pasti kegagalan dan kejayaan kita.

Maka kerana itu, jika ada silap dalam perjalanan atau perancangan yang kita buat di masa lampau, kita perbetulkan. Kalau ada kelemahan dalam berorganisasi, kita perkukuhkan. Kalau ada kegagalan kita menjayakan program seperti yang dirancang – maka lipatgandakan usaha agar kejayaan yang diharapkan dapat dicapai. Jika kita kita yakin bahawa IPS ini telah mencapai kejayaan seperti yang saudara dan saudari harapkan, maka pertahankan agar kejayaan tersebut ia tidak tercicir dari gengaman kita.

Sebagai ”Pemimpin Musafir” dalam IPS, maka bagi saya tidak menjadi penghalang untuk saya memberikan pandangan dan pesanan kepada semua ahli IPS - agar perjuangan kita bagi menegak mertabat sastera dan budaya tanah air dapat ditunjangi dengan keazaman yang kental serta daya fikir yang mantap.

Sebagai golongan sasterawan dan budayawan – kita tidak sekadar menjadi ”pencatat peristiwa” atau menjadi ”penulis kreatif” yang berilusi dan sering mempersembahkan tulisan atau karya-karya yang rapuh. Penulis yang mantap dan agung perlu dapat menggarap dan mengangkat karya-karya yang besar – yang berpaksikan kepada permasalahan sejagat terutamanya masalah kemasyarakatan – seperti permasalahan sosial, gejala rasuah, keruntuhan moral, dadah, pelacuran, kekejaman, pembunuhan, perang dan kezaliman sejagat ” yang sedang meruntun dunia globalisasi ini.

Sebagai penulis atau karyawan – kita mempunyai senjata yang tajam yang mampu menghalang semua permasalahan di atas. Lebih jauh daripada itu kita mempunyai senjata PENA yang mampu ”mebunuh ” sesiapa pun – jika kita mahu. Namun secara jujur saya peringatkan saudara /i, agar janganlah gunakan pena dan bakat yang ada dengan saudar/i itu – dengan membunuh sesiapa sahaja insan yang tidak berdosa, hanya kerana kita tidak berminat atau suka kepadanya.

Oleh itu gunakanlah pena dan bakat yang ada dengan saudara / i itu dengan penuh kejujuran dan luhuran. Angkatlah dan garapkan pemikiran daya kreatif yang kita ada itu ke jalan yang lurus dan beretika demi perjuangan kita dalam menegakkan “ Bahasa, Sastera, Budaya, Agama dan juga Maruah bangsa”

Perjuangan kita dalam menegakkan “ Bahasa, Sastera, Budaya, Agama dan juga Maruah bangsa - adalah merupakan CABARAN kepada kita semua. Perjuangan ini tidak sekadar dizahirkan dalam bentuk ucapan atau karya tetapi ia perlu diterjemahkan dalam bentuk institusi dan juga peradaban. Bagi mencapai tujuan ini maka, saya mencadangkan agar perkataan IPS di terjemahankan dari Ikatan Penulis Sabah kepada ” INSTITUT PENULIS SABAH ” agar matlamat membina penulis dan karyawan dapat dipupuk dan di asuh secara terancang dan tersusun melalui bantuan dan sokongan pihak pemerintah – iaitu Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan. Insya Allah !

Akhir sekali marilah kita sama-samamberdoa, mudah-mudahan dengan izin Allah s.b.t. jua – harapan dan impian kita untuk melihat peradaban dan tamaddun bangsa ini dapat diterjemahkan dan jelmakan melalui kegiatan sastera dan budaya ini akan menjadi suatu kenyataan di suatu hari kelak. Insya Allah!.

2 comments:

Roberth W Maarthin Boong Bethony said...

Pak Cik Salam kenal dari Indonesia, khususnya dari Pedalaman Sulawesi Selatan.
Saya beberapa kali masuk ke blog Pak Cik dan merasa senang. Terutama saya banyak belajar dari tulisan-tulisan Pak Cik di Blog ini tentang Sastra dan Budaya Melayu, khususnya di Negeri saudara.
Saya setuju dengan Pendapat Pak Cik, bahwa kalau bukan kita yang melestarikan Kesusastraaan Melayu, Siapa lagi ya?
Persoalannya sekarang ini adalah Banyak Fakultas Sastra di Perguruan Tinggi yang tidak lagi, menyediakan waktu dan ruang untuk membahas kesusastraan Melayu kuno dan Modern. Padahal itu amat penting bagi generasi kita mendatang.
Selamat berkarya dalam ragam sastra Melayu Pak Cik.

Salam hangat.
Roberthw

Laliman Ahmad said...

Sdr.Roberthw
Terima kasih atas pandangan sdr.